KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik menjadi Menteri Pertahanan baharu dalam barisan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Muhyiddin mengumumkan sebuah Kabinet yang peduli rakyat itu pada sidang berita khas di Putrajaya.
Portfolio Kementerian Pertahanan Malaysia merupakan portfolio ke-5 yang digalas oleh Ismail Sabri sejak kali pertama menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004.
Pada tahun 2008, beliau telah dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan sebelum diberikan kepercayaan untuk mengalas tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun 2009 sehingga 2013.
Ismail Sabri pernah dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013 sehingga 2015.
Portfolio terakhir Menteri Persekutuan yang pernah dipegang oleh beliau adalah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia pada tahun 2015 sehingga 2018.
Pasca Pilihanraya Umum ke-14, beliau telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang.
Ismail Sabri mendapat pendidikan awal di Pahang sebelum melanjutkan pelajaran ke Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya pada tahun 1980.
Beliau telah memulakan kerjayanya pada tahun 1985 sebagai seorang peguam sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh pada 1987 dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada 1996.
Pada tahun 1987 pula, beliau dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Temerloh dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1988.
Pada tahun 1993, beliau pula dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian (2001) dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 2004.