Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan PH bersihkan Kementerian Pertahanan dari menjadi lubuk rasuah

Kerajaan PH bersihkan Kementerian Pertahanan dari menjadi lubuk rasuah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melaksanakan pelbagai transformasi di Kementerian Pertahanan Malaysia termasuk membersihkan imej kementerian itu dari menjadi lubuk rasuah.

Menurut satu kenyataan oleh DAP, Kementerian Pertahanan di bawah PH bukan lagi kementerian yang menjadi lubuk rasuah serta projek pembelian aset secara membuta tuli.

“Kementerian Pertahanan menjadi satu bidang dasar awam yang lebih telus dan terbuka untuk semua dilibatkan sekali,” jelas DAP dalam kenyataan di akaun media sosial rasminya.

“Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), pelbagai penambahbaikan dapat disaksikan di Kementerian Pertahanan,

“Antaranya ialah Kertas Putih Pertahanan (KPP), Penambahbaikan Tadbir Urus, Perolehan dan Pengurusan Kewangan serta Memperkasakan pengalaman asas anggota tentera,”

KPP telah dibentang oleh Mohamad Sabu pada 2 Disember 2019 di Dewan Rakyat dan merupakan kertas dasar pertahanan terbuka yang pertama dalam sejarah Malaysia.

Kertas Putih Pertahanan pertama Malaysia dibentangkan oleh Mohamad Sabu pada Disember 2019.

“Ia digubal dengan mengambil kira pendapat dan melibatkan pemegang-pemegang taruh dalam lapangan keselamatan dan pertahanan”

“Kesemua input ini telah diterapkan dalam semua pelan dan dasar baru di bawah naungan KPP yang akan memantapkan lagi industri pertahanan, keupayaan, kesiagaan, dan kesejahteraan Angkatan Tentera Malaysia,” jelas DAP yang turut menyatakan dokumen itu meningkatkan pemahaman orang ramai akan peranan ATM.

Selain itu, Kementerian Pertahanan adalah kementerian pertama yang disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

“Salah-salah laku yang didapati daripada pentadbiran sebelumnya diberikan perhatian sewajarnya. Pada masa yang sama, proses-proses perolehan turut ditambahbaik agar kesilapan dan salah laku yang sama boleh dielakkan,” kata kenyataan itu.

Antara pencapaian lain adalah membaiki 2,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Senator Liew Chin Tong melakukan lawatan ke RKAT.

“Belanjawan 2020 peruntukan sebanyak tiga kali ganda telah disediakan untuk membaiki 6,000 unit lagi RKAT,

“Bagi tahun 2020 juga, terdapat rancangan awal untuk menambahbaik aspek-aspek lain ketenteraan, seperti mobiliti, kesihatan, dan sistem pembekalan kepada unit-unit hadapan,” jelas DAP.

DAP turut menegaskan perubahan ini mustahil diterajui oleh rejim kleptokrat yang mementingkan diri sendiri lebih daripada anggota tentera.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!