KUALA LUMPUR, 4 Mac – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Muhammad Ariff Md Yusof hari ini mengesahkan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya mula berlangsung pada 9 Mac ditangguhkan kepada 18 Mei.
Muhammad Ariff dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-14 akan bersidang pada 18 Mei hingga 23 Jun 2020. Sidang itu akan berlangsung selama 15 hari dan pembukaannya akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A’-Mustafa Billah Shah pada 18 Mei 2020 jam 10 pagi.
“Sepanjang tempoh persidangan, Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada 26 hingga 28 Mei bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,
“Sesi Dewan Rakyat tidak akan berlangsung pada 1 dan 2 Jun bersempena perayaan Hari Gawai dan 8 Jun sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu.
Manakala berdasarkan takwim sama, mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bermula 27 Julai hingga 27 Ogos 2020 selama 17 hari.
“Sidang kedua ini, akan turut diadakan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada 6 Ogos.
“Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada 30 Julai sempena Hari Raya Korban yang jatuh pada 31 Julai serta 19 Ogos hingga 20 Ogos 2020 bersempena Awal Muharam,” ujarnya.
Mesyuarat ketiga Dewan Rakyat pula dijadual berlangsung selama 36 hari mulai 28 September hingga 26 November yang akan melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh Menteri Kewangan pada 2 Oktober jam 4 petang.
“Pada 29 Oktober, sidang mesyuarat ketiga tidak akan berlangsung sempena Maulidur Rasul,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, ketetapan tarikh-tarikh mesyuarat tersebut adalah selaras Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Justeru katanya, Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat akan membuat tindakan susulan dengan mengeluarkan Notis Panggilan Mesyuarat kepada semua ahli dewan,” kata Muhammad Ariff.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut mengesahkan pihaknya telah menerima surat pemakluman yang ditandatangani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Surat yang dihantar semalam merupakan makluman keputusan pihak kerajaan menunda Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14.