PETALING JAYA, 4 Mac – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menegaskan pihak Pakatan Harapan Selangor berpegang teguh tali persefahaman dengan DAP dan AMANAH demi kepentingan rakyat Negeri Selangor.
“Semua anggota parti PKR terutamanya di Selangor harus mengukuhkan tekad dan membulatkan muafakat demi melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat,
“Saya bersama 18 Ahli Dewan Negeri Selangor dari PKR memberi sepenuh sokongan untuk mengukuhkan tekad bekerjasama dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Selangor,” jelas Amirudin yang juga merupakan Pengerusi PKR Negeri Selangor.
Dalam kenyataan yang sama, beliau menegaskan PKR Selangor berikrar untuk terus setia dengan idealisme perjuangan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan rakyat Selangor.
Amirudin sebelum ini dilihat sebagai penyokong kepada bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau dilaporkan telah menghadap Sultan Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan perubahan landskap politik selepas parti Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.
Tindakan Bersatu pada 24 Februari lalu telah menyebabkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan di Johor dan Melaka tumbang.