Home Semasa Khazanah catat keuntungan RM7.36 bilion pada tahun 2019

Khazanah catat keuntungan RM7.36 bilion pada tahun 2019

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM7.36 bilion bagi tahun kewangan 2019 berbanding kerugian operasi RM6.27 bilion pada tahun 2018.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, Khazanah menyatakan keuntungan itu disumbangkan oleh hasil pelupusan yang lebih tinggi dan rosot nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

Hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala rosot nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya. Khazanah mengumumkan dividen sebanyak RM1.0 bilion untuk tahun 2019.

“Prestasi kami pada tahun 2019 dicapai dalam keadaan persekitaran global yang tidak pasti yang menyaksikan proses Brexit yang berpanjangan serta perang perdagangan AS-China yang kian sengit,

“Hal ini menjadi lebih mencabar akibat persekitaran pulangan rendah yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan,

“Walaupun berhadapan cabaran ini, kami berjaya mencatatkan kemajuan yang ketara dalam memenuhi mandat kami untuk membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” kata Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan.

Selain itu, Khazanah turut mengukuhkan kedudukan kewangannya hasil daripada perbelanjaan yang dikurangkan sebanyak 28.2% kepada RM484 juta berbanding RM674 juta pada tahun 2018.

“Jumlah hutang telah berjaya dikurangkan sebanyak 17.0% kepada RM45.8 bilion daripada RM55.2 bilion pada tahun 2018, manakala lindungan Nilai Aset Boleh Tunai meningkat kepada 3.0 kali daripada 2.4 kali,” kata Khazanah.

Selain itu, Khazanah telah berjaya mencapai penyelesaian berkaitan penstrukturan semula tol PLUS (“PLUS”), yang menyaksikan pengurangan kadar tol sebanyak 18% bagi lebuh raya PLUS. Selain itu, kerajaan telah ditawarkan penjimatan berjumlah RM42 bilion untuk tempoh konsesi baharu yang berakhir pada tahun 2058.

Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang saham PLUS.

“Penstrukturan semula ini kini berada di peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi meminda perjanjian sedia ada,” jelas Khazanah.

Selain itu, pihak Khazanah memberi pertimbangan pilihan yang tersedia untuk menyelesaikan isu-isu utama yang dihadapi oleh Malaysia Airlines (MAS).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!