KUALA LUMPUR, 2 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan jawatan kuasa kerja bagi menetapkan keseragaman tatacara pemakaian seragam kedua-dua agensi keselamatan, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.
Beliau berkata demikian ketika sidang media khas sempena kunjungan hormatnya ke atas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman, hari ini.
Affendi berkata jawatan kuasa kerja tersebut yang akan disyorkan kepada pihak kerajaan adalah untuk mengatasi bebarapa kekeliruan yang berlaku sejak akhir-akhir ini terutamanya mengaitkan dengan pakaian seragam tentera yang telah di salah gunakan oleh agensi-agensi lain dan orang awam.
“Beberapa agensi-agensi lain yang berkaitan dengan keselamatan didapati mempunyai persamaan dari segi pakaian seragam celoreng ATM,
“Sebagai anggota ATM dan PDRM dipertanggungjawab sepenuhnya menjaga keselamatan negara, kami harap perlu ada kelainan dan mendapat hak eklusif agar tidak timbul kekeliruan berkaitan pakaian seragam kami,
“Oleh itu, kedua-dua pihak telah bersetuju menubuhkan satu jawatan kuasa kerja agar ketepatan berkaitan pakaian seragam dan lencana-lencana dipakai ini dapat diputuskan,” jelas Affendi.
Menurut Affendi, ATM akan meneruskan kerjasama bersama PDRM dalam menyelaraskan dan membincangkan hal yang berkaitan terutamanya yang melibatkan keselamatan negara.
“Kerjasama yang erat ini bukan sahaja untuk menjamin keselamatan negara agar sentiasa terpelihara tetapi bagi memastikan segala keperluan warga ATM dan PDRM dipenuhi supaya setiap anggota dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” jelas Affendi.
Sementara itu, Hamid turut menegaskan Jabatan Narkotik Bukit Aman akan berkerjasama dengan ATM dalam membanteras penglibatan warga kedua-dua agensi ini dengan najis dadah.
“Tindakan pembersihan mesti dilaksanakan agar warga ATM dan PDRM dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya,
Sebagai anggota agensi keselamatan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara, warga kerja ATM dan PDRM hendaklah bersih dari gejala yang salah dan memudaratkan kerjaya ini,” tegas Hamid.
Beliau turut mengulangi permohonan agar anggota PDRM dibolehkan menggunakan kemudahan Hospital Angkatan Tentera yang telah dimajukan kepada pihak kerajaan.
“Kami telah berbincang dan memutuskan untuk memohon peruntukan dalam bajet yang akan datang untuk mengatasi permasalahan kewangan supaya kemudahan itu dapat dikongsi bersama,” jelas Hamid lagi.