KUALA LUMPUR, 1 Mac – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini kira-kira 10.33 pagi tadi.
Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Interim setelah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada 24 Februari lepas.