Home Semasa Tun M tawar diri jadi Perdana Menteri semula

Tun M tawar diri jadi Perdana Menteri semula

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menawarkan menjadi calon Perdana Menteri semula.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menegaskan telah mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan pagi tadi.

“Saya yakin mempunyai sokongan mencukupi bagi mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

“Dengan itu, saya bersedia untuk menjadi salah seorang prospek calon Perdana Menteri.

“Keputusan ini akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurutnya, beliau mengulangi pendirian untuk menentang kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan UMNO dan telah pun disampaikan dalam mesyuarat semalam di Yayasan Al-Bukhary.

“Malah, saya meninggalkan mesyuarat tersebut lebih awal bagi membolehkan mereka berdebat secara bebas untuk memilih calon yang dirasakan sesuai sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Manakala Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“Pakatan Harapan berpegang teguh, kepada prinsip dan akan terus memperjuang manifesto PH dalam kerajaan,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!