KUALA LUMPUR, 29 Feb – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan seramai 114 Ahli Parlimen telah menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.
Pada masa yang sama, Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa jumlah sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah tidak tepat.
“Saya ingin menjelaskan saya bersama 5 lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bersama-sama menyokong pelantikan Muhyiddin,
“Ini menjadikan jumlah sokongan Bersatu seperti yang dipersembahkan oleh Muhyiddin kepada Agong adalah tidak tepat,” kata Tun M dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut menyenaraikan nama keenam-enam Ahli Parlimen dari Bersatu yang tidak menyokong Muhyiddin.
Mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad (Ahli Parlimen Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Ahli Parlimen Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), Dato Ir Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu), Mazlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Ahli Parlimen Kuala Pilah).
Selain itu, kenyataan yang sama turut menyenaraikan nama kesemua 114 Ahli Parlimen yang menyokong Tun M sebagai Perdana Menteri ke-8 secara terperinci.
Menurut Dr Mahathir, beliau telah menyediakan surat untuk dipersembahkan kepada Agong bagi menerangkan kedudukan sebenar dan sokongan kesemua 114 Ahli Parlimen.
“Saya berharap Tuanku Agong akan terima surat dan penjelasan saya,” ujar Tun M.