SUBANG, 29 Feb – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak yang mengalami masalah jantung untuk mendapat rawatan segera di Hospital Serdang.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, pesakit Nuriel Assyida Khalvin L. Karl berusia 2 tahun 8 bulan diterbangkan dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 2.35 petang dan telah selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 5.53 petang, semalam.
“Pesakit yang sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dibawa menaiki ambulans sebaik sahaja tiba di Subang untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Serdang,” katanya.
Penerbangan ihsan menggunakan pesawat C130H daripada No 20 Skuadron dikendalikan oleh Mejar Rosnalisa Fitri Mohammed Rosli TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Muhammad Sujangi TUDM bersama lima anak kapal.
“Turut sama dalam penerbangan ini adalah waris pesakit iaitu Khalvin Khalil L. Karl dan Nor Afifah Maidin Li serta dua orang pegawai perubatan bersama sorang paramedik,” kata kenyataan itu.