Home Politik Tiada Ahli Parlimen yang layak jadi PM ke 8- Agong

Tiada Ahli Parlimen yang layak jadi PM ke 8- Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah belum memperoleh keyakinan terhadap seorang pun Ahli Parlimen yang layak dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan hari ini menegaskan Baginda turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin ini.

“Berdasarkan proses temubual ini, Baginda belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu,

“Baginda akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama,

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka yang mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan Perdana Menteri yang baharu.

“Namun demikian, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap,

“Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada Mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020 ini,” jelas Mohamad Ariff.

 

Related Articles

Leave a Reply