KUALA LUMPUR, 27 Feb – Menyertai misi kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di bumi asing merupakan satu pengalaman berharga.
Namun, pengalaman sebegini turut diiringi rasa rindu seorang ibu kepada anak-anak dan suami.
Ruziayana Zakira 48 tahun, merupakan antara 56 petugas Op Starlight-4 yang bertugas di Hospital Medan Malaysia (HMM), Cox’s Bazar, Bangladesh.
“Hanya panggilan video sahaja yang dapat mengubat rasa rindu kepada keluarga sepanjang penugasan di HMM,
“Sepanjang saya berada di HMM, suami amat memahami situasi dan memberi sokongan penuh kepada saya,” kata Ruziayana.
Beliau menambah anak-anaknya sudah terbiasa berjauhan dari ibu dan bapa mereka sejak kecil lagi terutamanya bila melibatkan tugasan demi negara.
Jururawat dari Kolej Tentera Udara, Alor Setar ini merupakan salah seorang daripada 56 petugas Op Starlight-4 yang diraikan dalam satu majlis di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis Sambutan Kepulangan Tim Op Starlight-4 telah disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Dato’ Redzuan Baharuddin.
Tim Op Starlight-4 turut melibatkan 30 orang petugas wanita yang terdiri daripada 9 orang pegawai, 12 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) dan 9 petugas awam. Pasukan ini telah ditugaskan di Cox’s Bazar, Bangladesh selama 6 bulan semenjak 30 Ogos 2019.
Ruziayana merupakan salah seorang petugas awam yang diberikan kepercayaan menabur bakti kepada pelarian etnik Rohingya. Menurut beliau pengalaman berada di sana merupakan satu memori yang tidak dapat dilupakan.
“Pengalaman saling membantu dan bekerjasama dengan rakan setugas dalam menyelamatkan nyawa ibu, anak serta pesakit lain semasa kecemasan adalah tidak dapat dilupakan,
“Penduduk di sana banyak membantu untuk berkomunikasi dalam bahasa Bangladesh dan Rohingya,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan.
Pada masa yang sama, Ruziayana melahirkan rasa amat bangga kerana dipilih untuk terlibat misi kemanusiaan bersama ATM.
Gambar-gambar Ruziayana Zakira ketika bertugas dalam misi Op Starlight-4 di Hospital Medan Malaysia (HMM), Cox’s Bazar, Bangladesh.