Home Politik Mukhriz Mahathir kekal MB Kedah

Mukhriz Mahathir kekal MB Kedah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Mukriz berkata kesemua ADUN bersepakat dan bersetuju agar kerajaan negeri Kedah dikekalkan.

“Kerajaan negeri hari ini ditadbir bersama Pakatan Harapan dan PPBM, kesepakatan ini menjamin urusan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa,

“Tujuan ini bagi menstabilkan keadaan ekonomi negeri kedah, perkembangan politik di persekutuan terserah kepada pucuk pimpinan parti masing-masing,” kata Mukhriz dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, keputusan itu juga sudah dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah pagi ini, dan baginda memberi perkenan kerajaan negeri diteruskan seperti biasa di bawah kepimpinannya.

“Dalam masa yang sama, saya telah mempersembahkan warkah penzahiran sokongan terhadapnya daripada 18 ADUN PH dan PPBM, baginda telah menerima dan berkenan agar saya terus memegang jawatan Menteri Besar,

“Sehubungan itu, kami kerajaan negeri meminta rakyat supaya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kemampuan pentadbiran ini untuk menjalankan tanggungjawab berkhidmat demi negeri dan rakyat,

“Kami juga berharap rakyat bertenang dan bersikap rasional kerana pentadbiran negeri tidak terjejas, oleh perkembangan diperingkat pusat,” ujar beliau.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata komponen Pakatan Harapan membuat ketetapan demi rakyat untuk terus menyokong Mukhriz.

Manakala Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi juga berkata parti Amanah menyokong keputusan PH terus memberi kepercayaan kepada Mukhriz untuk mentadbir urus Kedah seperti biasa.

Perkara ini juga disokong oleh Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew yang mewakili parti DAP.

Sebelum itu, Mukhriz mengadakan pertemuan bersama kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan ADUN semalam dan pagi tadi.

Di Kedah Pas memiliki kerusi tertinggi dalam komposisi DUN Kedah dengan 15 kerusi, PKR (7 kerusi), Bersatu (6 kerusi), Parti Amanah Negara (4 kerusi), DAP (2 kerusi) dan Barisan Nasional (2 kerusi).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!