PUTRAJAYA, 27 Feb – Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan.
Pakej itu mempunyai tiga strategi utama iaitu menangani impak penyakit tersebut, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti, katanya.
Beliau berkata beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.
Pakej Rangsangan Ekonomi itu diumumkan seperti yang dijadualkan walaupun negara menghadapi kemelut politik susulan cubaan mengatur semula landskap politik negara yang mengakibatkan kerajaan pusat Pakatan Harapan hilang kuasa.
Malaysia mencatatkan 22 kes positif COVID-19 dengan 20 individu telah pulih sepenuhnya setakat ini manakala di seluruh dunia kira-kira 80,000 orang telah dijangkiti penyakit itu dengan lebih 2,800 maut direkodkan terutamanya di China.
Dr Mahathir berkata antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan COVID-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong serta turut melibatkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan industri peruncitan secara meluas.
Bagi menangani keadaan tersebut, kerajaan akan memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan, bantuan kepada individu yang terjejas dan merangsang permintaan dalam industri pelancongan, katanya.
Beliau memulakan ucapannya dengan mengucap setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas di barisan hadapan seperti doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain yang bertungkus lumus melindungi Malaysia daripada wabak tersebut. -Bernama