KUALA LUMPUR, 25 Feb – Pesawat khas untuk misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak-anak mereka di Wuhan, China, susulan wabak COVID-19, telah berlepas ke bandar itu petang tadi.
Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pesawat khas AirAsia itu berlepas pada 5.58 petang bagi membawa pulang 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka.
Seramai 21 petugas misi dari lima agensi menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) kali ini melibatkan masing-masing seorang petugas NADMA, Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen, enam petugas Kementerian Kesihatan dan 12 kru penerbangan AirAsia.
Misi HADR pertama kali digerakkan kerajaan Malaysia pada 4 Feb lepas dan berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.
Pesawat khas AirAsia itu dijangka bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada 1 pagi (26 Feb) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 pagi hari sama.
Jurucakap itu berkata Misi HADR kedua ini akan melalui proses sama seperti HADR pertama.
Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin ketika dihubungi Bernama berkata persiapan bagi membawa pulang rakyat Malaysia itu berjalan lancar dan pihak kedutaan Malaysia sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa China berhubung misi ini. – Bernama