Home Politik Isu Politik Negara : MB Selangor menghadap Sultan Selangor hari ini

Isu Politik Negara : MB Selangor menghadap Sultan Selangor hari ini

by Bernama

SHAH ALAM, 25 Feb  – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini dipercayai ada kaitan dengan pengaturan semula landskap politik negara.

Kenderaan rasmi yang dinaiki Amirudin dilihat memasuki perkarangan istana kira-kira 9.00 pagi.

Turut dilihat memasuki perkarangan istana untuk menghadap Sultan Sharafuddin adalah Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Izham Hashim.

Dua jam selepas itu, kenderaan dinaiki Amirudin, Gobind dan Izham keluar meninggalkan perkarangan istana.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor yang juga Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rashid Asari tidak kelihatan memasuki istana berkenaan.

Sementara itu, Izham ketika disapa pemberita dalam perjalanan keluarnya berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor masih stabil dan menteri besar dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkembangan politik semasa hari ini.

Difahamkan, Amirudin juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Pakatan Harapan di kediaman rasminya hari ini.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan pada ketika ini, komposisinya adalah 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) dan PAS (1). -Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!