PETALING JAYA, 25 Feb – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Parti.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya menegaskan keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi parti.
“Pihak Majlis Tertinggi Parti menolak peletakan jawatan oleh Tun Mahathir sebagai Pengerusi Parti Bersatu,” kata Marzuki selepas menghadiri mesyuarat khas parti di Menara Yayasan.
Namun, beliau tidak mengulas lanjut punca tindakan Tun Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri ke-7 dan Pengerusi Bersatu, semalam.
Beliau turut menyatakan mesyuarat dijalankan selama 3 jam di ibu pejabat parti turut menyentuh beberapa perkara lain.
“Bersatu turut membuat keputusan akan menyokong penuh Tun Mahathir untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri,
“Pada masa yang sama, kami menafikan dakwaan bahawa terdapat ahli parlimen dan pimpinan Bersatu keluar parti,” tegasnya.
Beliau menambah, barisan parti masih lagi kukuh.
“Kita semua masih dalam keadaan baik, masih dalam satu barisan. Kita telah membina parti ini dan kita akan dapat hadapi kemelut ini dengan baik,” katanya.