KUALA LUMPUR, 24 Feb – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini menegaskan tindakan membentuk kerajaan baharu adalah satu perbuatan khianat kepada mandat rakyat.
“Kami di Patriot menegaskan cubaan pihak tertentu untuk membentuk kerajaan pintu belakang seperti yang dilaporkan baru-baru ini adalah satu perbuatan yang menjijikkan,
“Kita difahamkan bahawa usaha ini dilakukan oleh parti Bersatu dan segolongan ahli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba membentuk kerajaan baharu termasuk UMNO serta PAS,” kata Presiden Patriot, Brigedier Jeneral (Bersara) Arshad Raji dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurut beliau, perkembangan terbaru ini merupakan satu kejutan besar terutamanya selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan telah berbincang tentang isu peralihan kuasa.
“Kami melihat usaha sebegini merupakan satu pengkhianatan kepada mandat rakyat. Patriot tidak akan menyokong mana-mana kerajaan baharu dibentuk yang mempunyai penglibatan PAS dan UMNO,” tegas Arshad.
Beliau menambah, parlimen sepatutnya dibubarkan dan rakyat perlu diberi peluang untuk memilih.
“Jika benar kerajaan Pakatan Harapan telah runtuh, cara yang betul adalah untuk membubarkan parlimen dan memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu,” katanya.