Home Politik Tiada pengumuman pembentukan kerajaan baharu

Tiada pengumuman pembentukan kerajaan baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Tiada sidang media dan pengumuman mengenai pembentukan kerajaan baharu yang diumumkan selepas Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, malam ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO, PAS, MIC dan MCA.

Kesemua mereka dilihat meninggalkan hotel tanpa memberi komen dan jawapan ketika disapa dan ditanya oleh pihak media.

Antaranya yang hadir adalah  Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, SA Vigneswaran; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hari ini, lima mesyuarat politik tergempar diadakan iaitu Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung pagi tadi di ibu pejabat parti itu.

Sementara di  Hotel Sheraton yang tidak jauh dari ibu pejabat Bersatu, turut berlangsung pertemuan sejumlah pemimpin yang dipercayai dari kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam masa sama, semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertemu di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat dengan Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Manakala UMNO juga mengadakan mesyuarat tergempar hari ini apabila mendapat arahan dari Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

UMNO dan PAS juga dilaporkan menghadiri pemukiman di kemudahan latihan UMNO di Janda Baik, Pahang pada Sabtu dan berakhir hari ini.

Dilihat juga pada sebelah petang tadi, sekurang-kurangnya 20 buah kenderaan orang kenamaan telah masuk ke dalam Istana Negara.

Menurut sumber, mereka adalah Ahli Parlimen yang bersutuju  untuk membentuk kerajaan baharu telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan sokongan mengenai pembentukan ini.

Difahamkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong  di Istana Negara pada pukul 2 petang esok.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!