Home Semasa Malaysia, Singapura tingkat kerjasama di Tambak Johor, tangani COVID-19

Malaysia, Singapura tingkat kerjasama di Tambak Johor, tangani COVID-19

by Bernama

VIENTIANE,  21 Feb – Malaysia dan Singapura akan mempertingkatkan kerjasama di Tambak Johor yang mempunyai pergerakan manusia dan kenderaan yang tinggi, dalam usaha menangani penularan jangkitan COVID-19.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan rakan sejawatannya Vivian Balakrishnan, berhubung Tambak Johor yang mengendalikan 250,000 pergerakan setiap hari.

“Saya berharap pegawai di kedua-dua negara akan berhubung dan mempertingkatkan kerjasama menangani penularan COVID-19 di Tambak yang mempunyai pergerakan tinggi.

“Kalau kita tidak buat betul-betul (kerjasama), ia akan ‘bocor’ (penularan jangkitan COVID-19). Oleh sebab itu, kita perlu menjaga Tambak secara bersama,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China mengenai Penyakit Koronavirus (COVID-19) pada Khamis.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Luar China Wang Yi dan Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin.

Dalam mesyuarat itu, satu video yang menunjukkan sokongan negara-negara ASEAN terhadap China dalam memerangi penularan wabak COVID-19 di negara itu, telah dipertontonkan.

Saifuddin berkata anggota-anggota negara ASEAN turut menyatakan keyakinan, bahawa China akan berjaya menangani wabak COVID-19.

“Dalam perjumpaannya semalam, ASEAN turut menawarkan bantuan untuk membantu China, mengatasi masalah (itu),” katanya.

Saifuddin berkata mesyuarat ini menandakan satu komitmen antara negara-negara anggota ASEAN untuk berkongsi maklumat dan meningkatkan kerjasama, termasuk dalam bidang kesihatan dalam usaha memerangi virus itu.

Beliau berkata penularan wabak itu dijangka akan berlanjutan beberapa minggu lagi dan semua anggota ASEAN dan China setuju merangka strategi, untuk mengurangkan impak ekonomi negara anggota berikutan penularan COVID-19.

“Kita faham virus ini akan berlanjutkan beberapa bulan. Maka, kita perlu mengatasi (cabaran) ekonomi (dihadapi) negara-negara (ASEAN) khususnya dalam bidang pelancongan,” katanya.

“Kita perlu ada satu kesefahaman bersama khususnya dalam usaha menghadkan kemasukan pelancong. Tidak ada gunanya sebuah negara tegas manakala satu lagi tidak,” katanya.

Sementara itu, Wang Yi turut melahirkan penghargaan terhadap pemimpin dan rakyat ASEAN kerana bersama negara itu dalam menangani penularan wabak COVID-19.

“China menghargai persabahatan ini,” katanya.  – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!