Home Diskusi Menyatukan Wanita dalam Pertahanan untuk keamanan dan kestabilan sejagat yang lebih baik

Menyatukan Wanita dalam Pertahanan untuk keamanan dan kestabilan sejagat yang lebih baik

by Liew Chin Tong

Selamat pagi kepada semua dan kepada tetamu antarabangsa, selamat datang ke Malaysia.

Saya berasa bangga kerana telah diberikan penghormatan untuk merasmikan kursus Wanita, Keamanan dan Keselamatan (Women, Peace and Security course). Saya turut berasa terharu dengan melihat kehadiran wakil-wakil anggota tentera wanita (pranita) dalam dewan ini, bukan sahaja dari Malaysia, malah dari negara-negara yang menyertai seperti Bangladesh, Kanada, Indonesia, Mongolia, Nepal, Pakistan, Thailand and Vietnam.

Seperti yang kita semua ketahui, Malaysia telah melancarkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang pertama pada Disember 2019. KPP meletakkan Malaysia sebagai ‘jambatan penghubung’ antara rantau Pasifik dan Lautan Hindi. Ia turut memperkukuhkan komitmen Malaysia dalam menjaga keamanan dan kestabilan serantau serta global.

Sudah tentu nasib negara kita turut berhubung kait dengan apa yang berlaku pada negara jiran kita dan juga perkembangan geopolitik yang meluas dalam dunia globalisasi. Kehadiran anda semua akan dapat membantu kami untuk melihat serta memikirkan senario yang sentiasa berubah dan juga meningkatkan hubungan antara negara.

KPP telah menegaskan kepentingan penglibatan Malaysia dalam operasi pengaman (Peacekeeping Operation, PKO) dan misi kemanusian. Ini termasuklah Hospital Medan Malaysia (Malaysian Field Hospital) di Cox’s Bazaar dan penglibatan kita dalam Pasukan Pemerhati Antarabangsa (International Monitoring Team) di Mindanao.

Usaha-usaha sebegini merupakan satu usaha yang tiada galang gantinya, bukan sahaja untuk kepentingan Malaysia tetapi ianya turut memacu komitmen dasar luar Malaysia dalam memastikan keamanan dan keselamatan global terjaga secara kolektif.

Oleh itu, Malaysia akan terus mempertingkatkan usahanya untuk menambah kapasiti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyediakan anggota tentera pengaman. Ini merupakan satu sumbangan jangka panjang negara dalam Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semenjak tahun 1960. Usaha ini termasuklah untuk memperbaiki daya saling operasi antara negara-negara terlibat dalam PKO.

Malaysia telah terlibat dalam melaksanakan operasi pengaman Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu semenjak tahun 1960.

Malaysia sentiasa mengalu-alukan sumbangan dan peluang untuk memperluaskan lagi kerjasama dalam memperkukuhkan peranan Pusat Pengaman Malaysia (Malaysian Peacekeeping Centre). Pusat ini merupakan pusat yang pertama dan turut menyediakan latihan pelbagai dimensi di rantau ini semenjak tahun 1995.

Dalam usaha ini juga, kita akan terus berkerjasama dengan rapat dengan negara-negara rakan anggota ASEAN melalui Rangkaian Pusat Pengaman ASEAN (ASEAN Peacekeeping Centres Network).

Tuan-tuan dan puan-puan,

Wanita merupakan salah satu komponen penting dalam dunia pertahanan, walaupun arena ini secara umumnya dikuasai oleh kaum lelaki. KPP turut menggariskan kepentingan untuk mempertingkatkan kepelbagaian (diversity) dan keseimbangan jantian dalam ATM. Kita turut bermatlamat untuk mempertingkatkan bilangan penyertaan wanita dalam ATM.

Idea bahawa wanita tidak sesuai untuk mendukung tugas tempur adalah semakin ketinggalan. ATM telah mempunyai juruterbang tempur wanita – yang sudah tentu mendukung tugas-tugas tempur di medan.

Perkembangan serta usaha sebegini adalah penting dan selari dengan seruan PBB kepada negara-negara ahli untuk menghantar anggota pengaman yang lebih banyak dari kalangan wanita.

Bagi menggalakkan penyertaan kaum wanita dalam tentera, kerajaan telah komited untuk menyediakan pelbagai kemudahan untuk menyokong penglibatan mereka dalam ATM termasuklah jaminan peluang memajukan karier mereka, penyediaan pusat asuhan dan khidmat jagaan kanak-kanak yang disubsidi.

Kontinjen pasukan pengaman dari Malaysia ke Lubnan (MALBATT UNIFIL) turut melibatkan kehadiran anggota pranita dalam melaksanakan tugas sebagai pengaman. Foto: Pasqual Gorriz/UN

Saya percaya, disebalik keperluan kita untuk memberikan layanan sama rata kaum wanita sebagaimana pada kaum lelaki, kita perlu memperakui akan cabaran dari segi jantina yang dihadapi oleh para wanita untuk meneruskan karier ketenteraan mereka.

Malaysia sentiasa komited dalam mencapai matlamat agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan (Women, Peace and Security agenda). PBB telah menggunapakai resolusi 1325: Wanita, Keamanan dan Keselamatan semenjak 20 tahun lalu.

Resolusi 1325 telah menegaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa hanya mampu dicapai apabila lelaki dan wanita berganding bahu sebagai rakan setara untuk membendung serta mengawasi konflik di samping memupuk keamanan.

Wanita bukan sekadar pemegang taruh dalam isu sebegini, mereka turut mempunyai pengalaman dan perspektif tersendiri dalam proses membuat keputusan yang selalunya dikuasai oleh kaum lelaki. Selain itu, mereka turut memainkan peranan yang penting dalam usaha Membendung Jenayah Seksual Semasa Konflik (Preventing Sexual Violence in Conflict), yang juga amat berguna semasa PKO.

Penglibatan wanita dalam kerjaya tentera mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Namun begitu, usaha untuk meningkatkan kepelbagaian dan kesamarataan jantina dalam perkhidmatan bukanlah satu jalan yang mudah kepada mana-mana pasukan tentera. Masa amat diperlukan dalam membina kemahiran dan pengalaman. Begitu juga dalam memastikan perubahan dapat dijalankan serta usaha meningkatkan pemahaman dalam memperkasakan jantina (gender empowerment) dalam budaya dan organisasi ketenteraan.

Oleh itu, kursus yang akan dihadiri oleh anda semua dalam minggu ini merupakan satu langkah yang penting dalam mencapai matlamat sebegini. Saya berterima kasih dengan rakan kita dari Kanada atas komitmen mereka. Ucapan yang sama saya sampaikan kepada kakitangan MPC. Saya percaya, lathan yang disediakan adalah berharga dan luar biasa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kursus yang anda semua akan hadiri adalah dibentuk bagi memastikan para peserta dapat memahami bagaimana sebuah organisasi tentera, terutamanya Angkatan Tentera Kanada yang telah membangunkan dan melaksanakan budaya ketenteraan inklusif.

Legasi juruterbang wanita dalam Tentera Udara Diraja malaysia (TUDM) tetap diteruskan oleh juruterbang-juruterbang baharu.

Anda semua akan mempelajari dari pengalaman orang lain dan mengenalpasti peranan penting para pemimpin tentera, seperti kamu semua, memainkan peranan dalam memastikan perlaksanaan budaya ketenteraan yang inklusif dapat mempertingkatkan keberkesanan organisasi.

Saya berharap kursus ini dapat menjadi peristiwa penting kepada anda semua untuk mempelajari dengan lebih lanjut akan cara yang lebih efektif dalam menghalang dan memberi tindakbalas untuk melindungi wanita serta perempuan terutamanya sewaktu konflik. Pengetahuan yang ditimba bukan sahaja perlu diamalkan dalam kehidupan seharian kita tetapi turut digunakan bagi mempertingkatkan keupayaan pasukan tentera anda semua dalam menjaga keamanan dunia.

Saya turut berharap anda semua berganding bahu dalam menyumbang serta menyertai kursus ini dengan sepenuhnya dalam masa 5 hari mendatang. Saya turut berharap bahawa saya akan menerima laporan yang baik mengenai pelaksanaan dan hasil daripada kursus ini.

 Dengan ini, saya merasmikan kursus Wanita, Keamanan dan Keselamatan 1/2020 (1/2020 Women, Peace and Security Course) dan mengucapkan anda semua selamat maju jaya.

*Teks adalah ucapan perasmian Women, Peace and Security Course 2020 yang diadakan di Pusat Pengaman Malaysia, Port Dickson. Teks asal berbahasa Inggeris disiarkan di laman blog beliau. Senator Liew Chin Tong merupakan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply