Home Diskusi Pencerahan tentang peralihan kuasa

Pencerahan tentang peralihan kuasa

by Liew Chin Tong

Sebagai seorang pengamat sejarah yang terlibat aktif dalam politik negara buat satu masa yang agak panjang, saya merasakan suatu titik bersejarah telah dicapai dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari 2020 dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Februari 2020.

Akhirnya yang kabur tentang persoalan kepimpinan telah diperjelaskan, dan ia akan membawa kepada penyelesaian semua hal-hal mendatang.

Dr Mahathir dan Anwar telah bertemu pada 13 Februari dan bersetuju supaya Dr Mahathir menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar selepas persidangan APEC.

Apabila ditanya wartawan, Dr Mahathir mengesahkan kenyataan Anwar tentang intipati pertemuan terbabit serta menegaskan bahawa walaupun wujud cubaan beberapa pimpinan untuk mengubah situasi itu, contohnya dengan mendapatkan sokongan daripada UMNO dan PAS; beliau tidak terlibat. Secara berseloroh, Dr Mahathir menyebut bahawa ada pihak yang cuba memaksanya memimpin untuk 22 tahun lagi, walaupun beliau sudah menghampiri 95 tahun.

Pensejajaran pada tahun 2017 antara Dr Mahathir dan Anwar, serta kuasa-kuasa yang menyokong mereka, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Ia dapat dijayakan kerana ia menjadi satu keperluan demi menewaskan kerajaan kleptokratik Datuk Seri Najib Razak.

Najib telah mengeluarkan Anwar daripada sifir politik dengan memenjarakan beliau pada 10 Februari 2015. Ia menyangka dengan membuang calon perdana menteri gabungan pembangkang dan membawa masuk PAS ke pihaknya akan dapat memastikan kemenangan pada pilihan raya umum. Dalam perkiraan rasis Najib, menjual idea kononnya Pakatan sebenarnya didominasi DAP kepada pengundi Melayu adalah cukup untuknya menang mudah.

Pada 2016, Dr Mahathir mengubah perkiraan itu sama sekali dengan melakukan perkara yang paling mustahil dan tidak tercapai akal:

    • Beliau meninggalkan UMNO pada bulan Februari;
    • Beliau mendapatkan rakan kongsi politik baharu melalui Deklarasi Rakyat pada bulan Mac;
    • Selepas kekalahan gabungan pembangkang dalam pilihan raya berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada bulan Jun, Dr Mahathir memahami keperluan menubuhkan sebuah parti politik
      untuk mengumpulkan penyokongnya dan membawa partinya itu mendekati Pakatan Harapan;
    • Beberapa hari sahaja sebelum Bersatu dilancarkan pada 8 September, Dr Mahathir bertemu Anwar ketika beliau hadir ke mahkamah, bagi memberi isyarat perdamaian demi tujuan yang lebih
      besar. Itu merupakan pertemuan yang pertama dalam tempoh 18 tahun sejak 2 September 1998;

Pensejajaran antara Bersatu dan parti-parti asal Pakatan (PKR, Amanah dan DAP) adalah pengalaman yang melelahkan dan mengambil masa lebih setahun untuk selesai. Sebabnya tiga:Pertama, rasa tidak percaya dan antipati oleh parti-parti asal terhadap Dr Mahathir, dan begitu juga sebaliknya sehingga ke satu tahap, ini merupakan satu halangan yang sangat serius;

Kedua, kerana Najib, UMNO dan PAS memomokkan DAP untuk menakut-nakutkan orang Melayu daripada menyokong Pakatan, keberanian diperlukan daripada semua pihak dalam koalisi untuk menerima idea bahawa sebuah Pakatan yang terkembang adalah satu-satunya laluan ke arah kemenangan;

Ketiga, beberapa pemimpin Pakatan tidak begitu percaya kepada koalisi pelbagai kaum yang melibatkan DAP dapat menangani serangan-serangan perkauman oleh PAS dan UMNO; dan justeru cuba untuk membentuk gabungan dengan PAS walaupun terbukti ketika itu bahawa PAS sudah pun bekerjasama dengan UMNO.

Kredit buat Dr Mahathir yang sudah pun mengajukan pensejajaran penuh bersama Pakatan seawal November 2016 ketika pemimpin-pemimpin Bersatu yang lainnya masih berfikir untuk membentuk Barisan Rakyat atau entiti gabungan Bersatu-Pakatan. Walaupun Bersatu dan Pakatan menandatangani memorandum persefahaman pada Disember 2016, namun perbahasan dalam kalangan kepimpinan Bersatu masih belum konklusif.

Menjelang Februari 2017, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencapai kata putus bahawa perbincangan dengan PAS hanya sia-sia. Mereka bersetuju supaya Bersatu bergabung penuh dengan parti-parti asal Pakatan.

Selepas Bersatu menyertai Pakatan secara rasmi pada 27 Mac 2017, gabungan tersebut mengambil masa empat bulan lagi untuk membentuk kepimpinan bersama antara Mahathir dan Anwar secara formal. Ini berlaku pada 14 Julai 2017. Saya menganggap ini sebagai satu titik tolak yang besar dalam sejarah negara. Perbincangan berlanjutan selama berbulan-bulan, dan pada 7 Januari 2018, Pakatan akhirnya dapat mengumumkan bahawa Dr Mahathir akan menjadi calon perdana menteri ke-7, manakala Anwar akan menjadi perdana menteri ke-8. Perjanjian inilah yang akhirnya membawa kemenangan dalam pilihan raya.

Unjuran bahawa Mahathir dan Anwar masing-masing akan menjadi PM ke-7 dan ke-8 disebut secara rasmi pada pemukiman Pakatan yang diadakan pada 1 dan 2 Disember 2017. Walaupun satu puak daripada PKR menentang idea tersebut. Bagaimanapun Anwar tidak menentang. Sebaliknya, beliau mensyaratkan supaya PKR bertanding lebih banyak kerusi berbanding Bersatu di Semenanjung. Ini katanya, adalah perlu untuk melindungi kepentingan politik PKR dan mengalahkan tuduhan daripada musuh dalaman bahawa beliau telah menjual diri.

Tiada tarikh ditetapkan untuk peralihan kuasa antara PM ke-7 dan ke-8.

Wakil-wakil rundingan daripada keempat-empat parti berbincang siang malam sehingga 6 Januari 2018 untuk mencapai kata sepakat. Pada pukul 6 petang, 6 Januari, masih tiada kata putus. Daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung, rundingan tidak mencapai kata putus untuk empat kerusi. Apa yang difahami, sekiranya tiada kata putus dicapai pada hari tersebut, konvensyen Pakatan yang dijadual berlangsung pada 7 Januari tidak akan diteruskan. Sekiranya itu berlaku, sejarah negara ini akan melalui jalan yang amat berlainan.

Mujurlah pada jam 8 malam 6 Januari, suatu kata sepakat dicapai. Amanah bersetuju untuk membuat pengorbanan yang besar.

Sebagai peserta di setiap perkembangan yang saya cerita ini, saya percaya bahawa apabila tiba saat dan ketika yang sukar, pemimpin yang terlibat akan memilih jalan terbaik demi negara. Negara perlu didahulukan. Contohnya seorang individu terhormat, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau adalah mantan timbalan perdana menteri dan beliau boleh sahaja menuntut supaya dijadikan calon perdana menteri. Namun memahami bahawa gabungan Mahathir-Anwar adalah penting supaya gabungan Bersatu dan parti-parti asal Pakatan mencapai impak maksima, Muhyiddin awal-awal lagi (sekitar pertengahan 2017) telah menyatakan beliau tidak mahu memegang peranan itu. Apa yang beliau mahukan ialah supaya Pakatan menang dan Najib kalah. Untuk itu, saya sangat mengagumi Muhyiddin.

Selepas PRU Mei 2018, kepimpinan ditekan dengan kerja-kerja pentadbiran harian. Tidak ramai yang boleh menjelaskan kepada orang ramai bahawa Pakatan Harapan adalah gabungan mustahil seteru zaman berzaman yang telah bergabung demi kepentingan negara. Mereka telah mendahulukan negara dan tanggungjawab, berbanding kepentingan diri.

Apa pun, parti-parti Pakatan tidak begitu efektif dalam memahamkan penyokong tentang bentuk sebenar kerajaan gabungan Pakatan Harapan. Malah ia sebenarnya merupakan sebuah gabungan yang muda. Sebenarnya, ia menyerupai sebuah syarikat dengan empat pemegang taruh, setiap satunya mempunyai saham 25 peratus. Mengawal nafsu cita-cita peribadi yang pelbagai dalam situasi demikian sudah cukup susah; dan bukan susah untuk membayangkan betapa rumitnya komunikasi antara setiap pihak.

Namun perlu diakui, ada yang terfikir bahawa sekiranya mereka mengubah-ubah perkiraan sedia ada, pengaruh dan kuasa mereka boleh meningkat melangkaui 51 peratus. Mereka membayangkan untuk membawa masuk UMNO, sama ada puak Hishammuddin Hussein atau Zahid Hamidi, atau kedua-duanya sekali, walaupun puak-puak itu tidak boleh bertentang mata. Malah PAS pun kononnya boleh masuk sekali.

Strategi ini hanya boleh menjadi, dan berpeluang untuk menggagalkan perjanjian Mahathir-Anwar serta menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri, sekiranya DAP dan Amanah ditendang keluar. Cubaan tersebut dibuat pada Oktober 2019, dengan tujuan mengetepi dan meneutralkan DAP serta Amanah.

Supaya negara dapat bergerak maju, kita harus:

  • Membentuk kepercayaan di peringkat atasan bagi mengelak kekeliruan; setiap kali wujud kelompangan di atas, pastilah akan ada anasir yang akan mencuba mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri; penyokong Anwar perlu percaya kepada Dr Mahathir dan komitmen beliau terhadap peralihan kuasa, manakala penyokong Mahathir mesti membantu untuk memastikan peralihan itu berlaku;
  • Memahami bahawa tanpa tindakan Dr Mahathir melawan Najib dan mengubah permainan secara total, tidak akan wujud kerajaan Pakatan; dan tanpa Anwar berjuang tanpa lelah demi Malaysia Baharu sepanjang 22 tahun sejak September 1998, Dr Mahathir tidak akan ada seteru pada 2016, apabila beliau akhirnya mengakui bahawa UMNO dan Najib sudah jauh menyimpang;
  • Menerima bahawa kerajaan Pakatan adalah kerajaan Mahathir-Anwar dan juga kerajaan Anwar-Mahathir, dan kerana ia adalah sebuah kerajaan gabungan, Perdana Menteri Pakatan tidak sepatutnya mencuba model ‘winner-takes-all’ yang digunakan Barisan Nasional dan menjadi wabak yang melanda negara sejak sekian lama;

Mengambil pengajaran daripada sejarah, kita harus maklum bahawa pertembungan antara penyokong, seperti yang dapat dilihat pada 1998, akhirnya membawa pertembungan antara pemimpin. Ini merupakan dinamik sosio-politik yang harus dijauhi, atau paling tidak pun diminimakan. Tun Abdullah Badawi juga pernah terkhilaf pada 2003 dengan cuba memadam dan melupakan jasa-jasa Dr Mahathir. Memadam sejarah adalah kerja yang merugikan.

Kenyataan-kenyatan oleh Anwar pada 13 Februari dan Dr Mahathir pada 14 Februari akan lebih diperkukuh sekiranya kepimpinan Pakatan secara keseluruhan dapat memberikan ketentuan tentang perkara berikut:

1. Peranan Dr Mahathir pasca peralihan kuasa;

2. Usaha melibatkan Anwar dalam pentadbiran bermula sekarang supaya peralihan berjalan lancar;

3. Penjelasan tentang siapa timbalan Anwar. Ini akan memberi jaminan kepada semua pihak bahawa semangat gabungan Pakatan Harapan terus dipelihara.

Pada tahun 1998 ketika para gergasi bertempur, negara ikut tumbang bersama dan kekal membeku sejak dari itu. Gabungan besar yang telah berjaya menewaskan Najib, UMNO dan BN, menyediakan ruang yang jarang ditemukan dalam sejarah: untuk berdamai, saling menyembuh dan membina kecemerlangan.

Malang barangkali, faktor panjang usia protagonis utama memungkinkan ini berlaku. Akhirnya nanti, apabila jalan tengah yang menempatkan Dr Mahathir dan Anwar terus kukuh, semua hal juga akan ikut teratur. Kepastian yang sedemikian itu akan menjadi asas kepada Malaysia untuk membina sebuah negara yang hebat pada dekad seterusnya, dan akan datang.

*Penulis adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Artikel asal disiarkan di laman blog kendalian beliau.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!