PUTRAJAYA, 18 Feb – Hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah mungkin dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan akan mengkaji undang-undang berhubung kesalahan berkaitan dadah kerana ada pihak berpendapat hukuman dikenakan sekarang terlalu keras.
“Kita kaji undang-undang kerana undang-undang sekarang ini amat keras iaitu kalau didapati sesiapa memiliki sekian banyak dadah, maka hukuman yang boleh dijatuhkan ialah hukuman mati.
“Banyak berpendapat dia (hukuman) tak berkesan sebab itu masih ada mereka yang mencari duit tidak halal dengan mengedar dadah.
“(Kerajaan) akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak dan jika kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan di sini hari ini. – Bernama