Home Politik Cerita roti John tak sahih, saya fokus kerja

Cerita roti John tak sahih, saya fokus kerja

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membidas pihak yang cuba mengaitkannya dengan kisah jenaka roti John yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Di akaun media sosial rasminya, Mohamad membidas bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dan bekas Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengaitkannya dengan isu roti John.

“Saya sekarang fokus dengan kerja, tak usik Najib. Kalau benda tak sahih pun nak usik (provoke), jemput baca dulu (berita),” balas Mohamad Sabu kepada ciapan bekas Perdana Menteri.

Mohamad turut mengingatkan Najib untuk fokus kepada perbicaraan mahkamah.

“Jangan di sosial media saja serba tahu, dalam mahkamah, apa pun tak tahu,” kata Mohamad dalam ciapannya.

Terdahulu, Najib berkongsikan kenyataan oleh Hishamuddin yang ‘berdukacita’ dengan kualiti menteri Pakatan Harapan.

“Mat, kau kenal roti John? (Mat, you know roti John?)” soal Najib dalam ciapannya.

Hishamuddin sebelum ini menyifatkan cerita roti John sebagai sesuatu yang mendukacitakan.

“Menteri Pakatan Harapan mana yang buat lawak tak kena tempat ni? Hari tu kecoh Menteri PH cerita kisah gajah bertembung dalam satu persidangan antarabangsa. Kali ni kisah roti John pula,

“Saya harap cerita ini palsu. Tetapi kalau sahih, ia amat mendukacitakan, apatah lagi ia dilakukan ketika mesyuarat yang membincangkan perihal keselamatan dunia,” tegas Hishamuddin.

Beliau turut mengingatkan bahawa Menteri PH untuk tidak mencalarkan maruah Malaysia di mata dunia.

“Satu sahaja nasihat saya kepada mana-mana Menteri PH, kalau rasa tak mampu banggakan negara, janganlah pula melakukan tindakan yang berupaya mencalarkan maruah Malaysia di mata dunia!” kata Hishamuddin di Facebooknya.

Sindiran Hishamuddin dijawab oleh Mohamad yang meminta bekas menteri pertahanan itu untuk menjawab persoalan mengenai kontrak mencurigakan.

“Lebih baik jawab mengenai isu pembelian helikopter dan lain-lain. Audit forensik akan siap dalam beberapa hari lagi,” kata Mohamad yang dipetik oleh media tempatan.

Isu roti John timbul berikutan sebuah artikel yang mendakwa sikap sesetengah menteri di negara ini lebih mementingkan pencapaian politik mereka berbanding masa depan rakyat telah disiarkan di akhbar tempatan berbahasa Inggeris pada Ahad lalu.

Penulis artikel turut mengemukakan kisah yang dikongsikan oleh seorang diplomat asing tentang seorang menteri Malaysia bertemu dengan seorang pegawai tinggi bernama John.

“Nama awak John. Di negara saya ada ‘roti John’. Jika awak datang ke negara saya, saya akan masak ‘roti John’ untuk awak,

“Katanya walaupun ia pelawaan yang menyelerakan, pegawai tersebut tidak tertarik kerana mesyuarat berkenaan berkait urusan keselamatan yang serius,” kata penulis dalam artikelnya.

Menurut penulis tersebut, kisah ringkas itu melucukan tetapi beliau sendiri tidak pasti sama ada diplomat tersebut bergurau ataupun serius.

Kejadian ini bukan kali pertama Mohamad disindir dengan roti John.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Datoh, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyindir Mohamad bahawa roti John merupakan satu diplomasi ketenteraan ( military diplomacy) yang baik.

“Saya amat kagum dengan keprihatinan Yang Berhormat sejak mengambil alih jawatan sebagai Menteri Pertahanan. Bukan sahaja melonjakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, memberikan amaran kepada negara-negara dan kuasa besar,

“Elephant and an elephant fight, grass will suffer. Saya juga peminat kepada roti John dan ini merupakan satu military diplomacy yang cukup baik,

“Saya fikir ramai lagi pemuka-pemuka tentera antarabangsa yang minat dengan roti John seperti saya,” kata Zahid ketika sesi soal jawab lisan di Parlimen pada 24 Oktober 2019.

Soalan Zahid terus dibidas oleh Mohamad yang menegaskan roti John tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

“Tak tanya pun soalan hal ini, berkaitan roti John ini apa cerita? Itu orang yang menyebut hal roti John bukan saya sebut tetapi Bekas Menteri Pertahanan, sebab itulah kena duduk sebelah sana. Sebab sikapnya begini,” balas Mohamad.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!