PUTRAJAYA, 18 Feb – Kesemua 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China dibenarkan pulang hari ini selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya berkata, jumlah berkenaan termasuklah dua individu yang sebelum ini dilaporkan positif COVID-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
“Kesemua mereka telah dibenar pulang ke rumah masing-masing hari ini kecuali seorang dirawat di hospital akibat masalah kesihatan yang dialami beliau,
“Sampel ulangan telah dilakukan dan keputusan menunjukkan negatif,”katanya.
Dalam masa yang sama, Dr Dzulkefly menjelaskan sehingga hari ini jumlah keseluruhan kes yang telah di benarkan keluar adalah 11 kes dan tiada kes baharu dilaporkan mengenai wabak itu.
“Sehubungan itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dengan hanya 11 kes masih dirawat di wad,” kata Dr Dzulkefly.