KUALA LUMPUR, 14 Feb – Malaysia dan China bersetuju untuk terus mempertingkatkan usaha serta menjalinkan kerjasama rapat dalam menangani wabak Coronavirus 2019 (COVID-19).
Wisma Putra dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pendirian itu dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi perbualan telefon bersama Presiden China, Xi Jinping, semalam.
“Kedua-dua pemimpin telah berbincang tentang persefahaman bersama dan hubungan erat untuk menangani wabak COVID-19 serta meminimumkan kesannya,
“Dalam perbualan telefon lebih setengah jam dengan Xi Jinping semalam, Dr Mahathir turut menzahirkan keyakinan terhadap setiap usaha yang dilakukan presiden dan kerajaan China berhubung perkara itu,” jelasnya.
Dalam kenyataan yang sama, China turut memberi jaminan bahawa mereka mempunyai kekuatan untuk menangani wabak COVID-19 dan akan menjaga rakyat Malaysia serta negara lain yang masih berada di China sama seperti warganegara mereka sendiri.
“Mereka juga menyatakan komitmen masing-masing untuk meneruskan usaha bersepadu seperti yang dilaksanakan ASEAN dan China, demi memastikan situasi ini terus terkawal,
“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk sentiasa berhubung antara satu sama lain dalam memberikan respons terhadap epidemik itu,” kata kenyataan itu.
COVID-19 sehingga kini meragut hampir 1,500 nyawa dan diisytiharkan sebagai darurat kecemasan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).