KUALA LUMPUR, 14 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menyiasat pemilik akaun Facebook milik ‘Haji Surur Ghazali’ yang memuat naik status berunsur hasutan dan fitnah kepada Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata laporan ini dibuat supaya perkara yang berunsurkan fitnah tidak dijadikan bahan mainan di media sosial, lebih-lebih lagi yang melibatkan menteri atau pemimpin-pemimpin tinggi kerajaan.
“Tindakan individu ini merupakan unsur-unsur jahat dan cubaan menghasut netizen supaya membenci pemimpin kerajaan dengan tujuan mencetuskan kemarahan orang ramai,
“Setelah laporan polis dibuat, sebagai orang Islam saya berharap pemilik Facebook, Haji Susur ini agar membuat pemohonan maaf kepada menteri dan netizen,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan NGO Pakatan Harapan, Ustaz Asri Talib menegaskan tindakan memfitnah Dr Mujahid dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merompak harta Tabung Haji itu, adalah sangat tidak wajar.
“Ia boleh menimbulkan isu perkauman dan mendatangkan kebencian terhadap Agama Islam,
“Saya mengharapkan dengan laporan yang telah dibuat ini dapat membenteras segala kerja buruk pihak pembangkang terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang ingin membawa kesejahteraan kepada rakyatnya,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Skuad Prihatin Kuala Lumpur, Datuk Mohd Noor Ali Akbar menegaskan kepada pihak pembangkang agar memberi ruang dan peluang kerajaan PH sehingga habis penggal ini untuk melaksanakan polisi bagi memberi perkhidamtan yang terbaik demi kesejahteraan serta keharmonian rakyat.
Mohd Noor juga berkata perkara tersebut perlu dihindari dan ia menyalahi undang-undang serta adab tatasusila Islam.
“Cukup-cukuplah dengan fitnah-fitnah yang telah dibuat. Sekarang timbul pula fitnah melibatkan menteri kami (Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad) yang berlatarbelakangkan kedai burger daging babi,
“Kami amat mengenali Khalid Samad dan kami sama-sama memperjuangkan konsep rahmatan lil alamin. Kami tidak pernah berada dalam situasi seperti ini yang amat buruk, difitnah pihak pembangkang,”tambahnya lagi.
Beberapa hari lalu, satu hantaran di Facebook milik Haji Susur Ghazali telah memuat naik kenyataan “Peniaga burger babi terbuka mendapat sokongan Menteri Wilayah” yang tular di media sosial.
Haji Surur juga turut memuatnaik satu gambar yang menunjukkan Menteri Wilayah berada di hadapan sebuah gerai menjual “Pork Pie”.