KUALA LUMPUR, 14 Feb – Kehadiran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam Singapore Airshow 2020 adalah didorong oleh semangat rakan serantau walaupun menghadapi risiko ancaman wabak COVID-19.
“Keputusan TUDM untuk teruskan penglibatan dalam Singapore Airshow 2020 adalah atas dasar semangat rakan serantau,
“Keputusan ini amat dihargai oleh pihak Singapura,” kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM.
Beliau menambah, layanan yang diberikan oleh Singapura adalah amat menyenangkan.
“Diharap perkara sebegini dapat merapatkan lagi hubungan TUDM dengan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF),” jelas Ackbal ketika dihubungi oleh Air Times.
Beliau turut hadir ke Singapore Airshow 2020 dan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan pertahanan strategik di dalam mengukuhkan lagi jalinan hubungan kerjasama pertahanan yang sedia terjalin. Di dalam rangka lawatan ini juga, beliau turut bertemu dengan kumpulan detasmen TUDM yang bertugas menjayakan Singapore Airshow 2020 dalam pameran statik.
Walaupun berisiko tinggi, TUDM telah menghantar pesawat pengangkut Airbus A400M dan jet pejuang Sukhoi Su-30MKM untuk menyertai Singapore Airshow. Selain menghantar dua aset untuk pameran statik, TUDM turut menghantar 7 orang pegawai dan 25 orang anggota Lain-lain Pangkat (LLP).
“Kita telah mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi menghadapi risiko wabak COVID-19,” jelas Ackbal.
Menurut beliau, antara langkah pencegahan yang diambil ialah pemakaian topeng sepanjang masa oleh para pegawai dan anggota.
“Pesawat tidak dibuka untuk orang ramai dimana pengunjung hanya memerhati pesawat dari luar pagar penghalang,
“Di luar waktu pameran, anggota dan pegawai diarah untuk meminimakan pergerakan,” jelas Ackbal.
Singapore Airshow 2020 merupakan acara pameran udara dwitahunan yang diadakan di Singapura selama 6 hari sejak 11 Februari 2020. Pameran ini akan tamat pada Ahad ini, 16 Februari 2020.
Pameran Singapore Airshow 2020 merupakan pameran aeroangkasa terbesar di Asia. Namun begitu, penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan hampir 80 buah syarikat pempamer menarik diri dari pameran itu.
Malah, keputusan membatalkan acara sampingan, Singapore Airshow Aviation Leadership Summit (SAAL) telah dibuat pada 4 Februari, beberapa hari sebelum kerajaan Singapura menaikkan tahap amaran COVID-19 kepada jingga.
Peningkatan tahap amaran itu sekaligus menyukarkan lagi keadaan dan Singapura tetap meneruskan pameran aeroangkasa itu.