Home Pertahanan dan Keselamatan Pameran DSA dan NATSEC tetap mendapat sambutan, langkah pencegahan COVID-19 diambil

Pameran DSA dan NATSEC tetap mendapat sambutan, langkah pencegahan COVID-19 diambil

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Penganjur pameran Defence Services Asia 2020 (DSA 2020) dan National Security Asia 2020 (NATSEC 2020) hari ini menegaskan pameran itu tetap mendapat sambutan di kalangan pempamer walaupun wabak koronavirus-2019 (COVID-19) sedang melanda dunia.

Dalam mendepani ancaman COVID-19, pihak DSA 2020 turut mengambil langkah pencegahan awal bagi membendung wabak itu.

Pengarah DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020, Nadzeem Abdul Rahman ketika dihubungi Air Times berkata, antara langkah yang telah diambil oleh pihaknya adalah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, pihaknya dan rakan penganjur, Informa Markets Malaysia bersama pemegang taruh pameran hadir ke sesi penerangan bersama Dr Noor Hisham. Tujuan sesi penerangan itu diadakan adalah bagi mendapat gambaran sebenar situasi wabak COVID-10 di negara ini.

“Ancaman COVID-19 merupakan cabaran baharu yang dihadapi global yang tidak pernah dijangka oleh mana-mana pihak,

“Sebaran maklumat yang cepat melalui media sosial telah memberi kekeliruan kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebarkan berita palsu,” katanya.

Dr Noor Hisham Abdullah ketika menyampaikan penerangan semasa sesi khas pada 12 Februari lalu.

 

Pada 12 Feb lalu, Dr Noor Hisham telah menghadiri sesi khas bersama wakil perniagaan dan industri serta kedutaan. Dalam sesi yang dihadiri 200 orang peserta, Dr Noor Hisham menegaskan semua pihak perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih mengenai wabak COVID-19.

Nadzeem turut memaklumkn bahawa pihak DSA akan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (BPK ATM).

“Kami akan berkerjasama dengan KKM dan BPK ATM untuk merangka langkah pemantauan dan saringan sepanjang pameran berlangsung,” jelasnya.

Nadzeem turut menyatakan sambutan DSA 2020 adalah sangat menggalakkan.

“Walaupun isu COVID-19 sedang hangat berlaku, DSA masih menerima banyak tempahan untuk menyertai pameran. Sehingga kini, kami ditahap 93% dari sasaran,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menjangkakan pempamer dari negara China berkemungkinan besar tidak akan hadir ke DSA 2020. Untuk rekod, Pavilion China merupakan antara pavilion terbesar dalam siri pameran DSA yang lalu.

China dijangka tidak akan menyertai pameran DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020.

“Kami percaya pada masa dan edisi yang akan datang,  China akan kembali bersama untuk mempertengahkan teknologi ketenteraan terkini,” ujar Nadzeem.

Beliau menambah DSA 2020 akan melibatkan ramai delegasi-delegasi antarabangsa yang menjadi tetamu kerajaan dari rantau Asia Tenggara (ASEAN).  Selain dari itu delegasi dari negara-negara dari rantau Asia Barat, Asia Tengah, Teluk Arab, Afrika Utara dan Eropah juga telah dijemput.

Wabak COVID-19 mula dikesan pada akhir Disember lalu di bandar Wuhan, China. Kes COVID-19 pertama kali dikesan di negara ini pada 25 Januari. Sehingga berita ini ditulis, Malaysia mencatatkan 19 kes jangkitan  COVID-19 dengan 9 daripadanya telah pulih.

COVID-19 dilihat telah memberikan kesan negatif dari aspek ekonomi dan sosial. Pameran Singapore Airshow 2020 yang berlangsung baru-baru ini telah menerima kesan daripada wabak tersebut dengan menyaksikan sejumlah pempamer menarik diri dari menghadiri acara di pulau republik itu. Ini terutamanya apabila kerajaan Singapura mengisytiharkan tahap amaran jingga berhubung COVID-19.

Namun begitu, pameran Singapore Airshow tetap berlangsung dan langkah-langkah pencegahan kesihatan telah diambil.

Pameran DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020 akan diadakan secara serentak pada 20 sehingga 23 April 2020 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Acara dwi-tahunan yang diadakan secara berkembar ini telah menarik penyertaan pempamer dari kalangan industri pertahanan tempatan serta global.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!