KUALA LUMPUR, 13 Feb – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini mengesahkan satu lagi kes terbaru wabak novel coronavirus 2019 (COVID-19).
Kes terbaharu yang dilaporkan adalah melibatkan seorang wanita warganegara China berumur 39 tahun. Wanita berkenaan merupakan anak kepada kes ke-16 yang disahkan positif wabak tersebut.
Dr Dzulkefly berkata kes yang dikenalpasti itu telah menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak di negara ini seramai 19 orang.
“Beliau bersama-sama 4 orang yang lain telah tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari lalu,
“Sebaik sahaja 2 kes terdahulu dikesan positif (iaitu kes-14 dan kes-16) pada 5 dan 7 Februari lalu, beliau telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan,” tambah kenyataan itu.
Menurutnya, hasil pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah mendapati wanita itu menunjukkan gejala demam dan batuk semalam sebelum dirujuk ke hospital.
“Ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama,”
“Wanita berkenaan kini telah dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil,”katanya.
Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan telah mengerakkan Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sejak 6 Februari lalu susulan Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan.
“Pasukan terbabit memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada individu yang diletakkan di bawah Perintah Pemantauan, petugas KKM dan agensi lain yang terbabit dalam menangani virus berkenaan,
“Antara aktiviti termasuklah sesi bantuan asas psikologi (PFA) kelompok dan individu, serta kaunseling dan rujukan kepada pakar sekiranya perlu,
“PFA juga turut diberikan kepada anggota kesihatan yang bertugas di lapangan, yang meliputi anggota kesihatan yang mengendalikan kes di wad isolasi hospital-hospital dikenalpasti,”jelasnya.
Wabak COVID-19 kini telah membunuh sekurang-kurang 1,355 nyawa, manakala hampir 60,000 sudah dijangkiti di seluruh China.