Home Semasa Anggota PGA hilang ketika selamatkan mangsa bot karam

Anggota PGA hilang ketika selamatkan mangsa bot karam

by Bernama

SANDAKAN, 13 Feb – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hilang dalam kejadian bot penumpang karam di perairan dekat Pasar Umum Sandakan di sini, pagi ini.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan Leftenan Komander Mohd Hafidz Mohd Tajuddin berkata mangsa Asman Ongkal, 40, yang turut menaiki bot itu bersama keluarganya, hilang ketika cuba menyelamatkan penumpang dari Pulau Tanjung Aru kira-kira 2.3 batu nautika dari sini.

“Dalam kejadian berlaku kira-kira 6 pagi tadi, bot yang membawa 37 orang termasuk juragan dari Pulau Tanjung Aru berlanggar dengan sebuah kapal yang sedang menunda sebuah bot kecil.

“Seramai 21 penumpang selamat, 15 lagi dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan, tiga daripadanya termasuk juragan berumur 30 tahun dalam keadaan kritikal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di jeti pasar berkenaan.

Mohd Hafidz berkata operasi mencari dan menyelamat dalam lingkungan radius dua batu nautika sedang dijalankan melibatkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam.-Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!