Home Semasa Vaksin wabak koronavirus akan siap dalam masa 18 bulan

Vaksin wabak koronavirus akan siap dalam masa 18 bulan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ketua Pengarah Badan Kesihatan Dunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan penularan wabak COVID-19 perlu dibendung sementara usaha menghasilkan vaksinsedang berjalan.

“Kumpulan pakar perubatan serata dunia sedang bermesyuarat di WHO bagi melakukan kajian dan menghasilkan ubat-ubatan bagi melawan wabak COVID-19,

“Vaksin pertama dijangka akan siap dalam masa 18 bulan,” kata Tedros.

Difahamkan, pertemuan itu melibatkan seramai 400 pakar perubatan dan saintis yang hadir serta melalui perhubungan maya.

Pada minggu lalu, WHO menganggarkan sebanyak US$ 675 juta (RM 2.789 bilion) diperlukan bagi menjalankan kajian dan pembangunan ubat-ubatan bagi melawan jangkitan COVID-19.

Tedros turut menegaskan, kesemua negara di seluruh dunia perlu berusaha untuk membendung penularan wabak membawa maut itu disamping bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Beliau menambah Kumpulan Pengurusan Krisis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Crisis Management Team) telah diaktifkan bagi menangani wabak COVID-19.

“Kumpulan Pengurusan Krisis dibentuk bagi memastikan WHO untuk terus fokus dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dari segi kesihatan,

“Selain itu, kumpulan ini turut melibatkan agensi lain berkepakaran dalam bidang sosial, ekonomi dan pembangunan yang terkesan akibat COVID-19,” jelas Tedros.

COVID-19 kini merupakan nama rasmi bagi wabak novel coronavirus (2019-nCoV). Wabak yang membawa maut itu kini membunuh seramai 1018 orang di seluruh dunia. Kali pertama dilaporkan pada Disember 2019 di Wuhan, COVID-19 telah merebak ke 24 buah negara termasuk Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!