MANILA, 12 Feb – Filipina bertegas mahu menamatkan kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengesahkan notis penamatan kerjasama Perjanjian Pasukan Pelawat (Visiting Forces Agreement, VFA) telah diserahkan kepada wakil kerajaan Amerika Syarikat.
“Pihak Amerika Syarikat telah menerima notis berkenaan melalui pihak kedutaan mereka. Tiada sebarang pengumuman rasmi perlu dibuat sebagai tanda etika diplomatik,” kata Teodoro dalam akaun Twitter rasminya.
Notis berkenaan menyatakan VFA akan tamat dalam tempoh 180 hari dari penyerahan.
VFA merupakan kerjasama bilateral antara Manila dan Washington yang telah berkuatkuasa mulai 27 Mei 1999.
Perjanjian membenarkan dari aspek perundangan kepada ribuan pasukan tentera AS ditempatkan di Filipina bagi membantu sebarang misi kemanusiaan dan latihan ketenteraan setiap tahun. Selain itu, anggota tentera AS dikecualikan dari peraturan visa dan passport.
VFA turut memberikan kebebasan kepada mana-mana kapal dan pesawat tentera AS untuk beroperasi di Filipina.
Pada bulan lalu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk menamatkan VFA setelah Amerika Syarikat bertindak membatalkan visa bekas Ketua Polis Filipina, Senator Ronald dela Rosa. Ronald disenarai hitam oleh Amerika Syarikat berikutan penglibatan beliau dalam usaha Manila dalam memerangi gejala dadah melalui dasar Philippine Drug War.
Tindakan Washington telah mencetuskan kemarahan Duterte dan beliau telah mengarahkan kesemua ahli kabinet Filipina untuk tidak melakukan sebarang lawatan ke Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat sebelum ini turut memberi amaran tindakan menamatkan VFA akan membawa kesan negatif terhadap Filipina.
Dasar Philippine Drug War digubal selepas Duterte mengambil alih pemerintahan Filipina pada tahun 2016. Dasar ini diwujudkan bagi memerangi dadah di seluruh Filipina.
Duterte turut menggesa masyarakat Filipina untuk membunuh penjenayah dan penagih dadah yang disyaki.
Dasar ini telah dikecam secara meluas di dalam dan di luar Filipina berikutan jumlah kematian akibat operasi polis dan tuduhan pelaksanaan hukuman mati secara sistematik.