Home Semasa Op Naga Barat: 124 kapal bernilai RM154 juta berjaya dirampas sejak Mei tahun lepas

Op Naga Barat: 124 kapal bernilai RM154 juta berjaya dirampas sejak Mei tahun lepas

by Bernama

PASIR PUTEH, 9 Feb – Sebanyak 124 kapal bernilai RM154 juta berjaya dirampas menerusi Op Naga Barat yang menggabungkan empat agensi keselamatan perairan negara sejak operasi berkenaan dilancarkan pada 2 Mei tahun lepas hingga 4 Feb baru-baru ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan Kapten Maritim Muhammad Nur Syam Asmawie Yaacob berkata Op Naga Barat yang membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang itu turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Maritim.

Beliau berkata 124 kapal yang ditahan itu melibatkan 89 kapal bot nelayan Vietnam bernilai RM133.5 juta, 33 kapal nelayan tempatan (RM16.5 juta) dan dua kapal kargo (RM4 juta).

“Seramai 1,187 Orang Kena Tahan (OKT) direkodkan, yang melibatkan 1,033 warga Vietnam, 44 warga Thailand , 32 warga Myanmar, 20 Kemboja dan 58 warga tempatan,” katanya kepada pemberita pada program Testimonial Nelayan yang turut dihadiri Ketua Pengarah  Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Jamaludin Othman di sini, hari ini.

Sementara itu, Jamaludin berkata, jumlah tangkapan ikan di Pelabuhan Perikanan Tok Bali di sini, sepanjang Ogos hingga Oktober 2019, menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Statistik pendaratan ikan di Pelabuhan Perikanan Tok Bali meningkat sebanyak lima peratus kepada 37,243 metrik tan pada tempoh berkenaan berbanding 35,461 metrik tan pada tempoh sama pada tahun sebelumnya. Ia berpunca daripada pelaksanaan operasi yang memberi impak kepada hasil tangkapan nelayan tempatan sekaligus meningkatkan jumlah pendapatan mereka,” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!