Home Semasa AirAsia: Dr Mahathir tidak sebut dakwaan rasuah sebagai bayaran ‘offset’ – PMO

AirAsia: Dr Mahathir tidak sebut dakwaan rasuah sebagai bayaran ‘offset’ – PMO

by Bernama

PUTRAJAYA, 8 Feb  – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berkata tuduhan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi ‘offset’  atau timbal balas dalam urus niaga perniagaan.

Ia berkata dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir, dalam menjawab soalan dari pihak media, telah menekankan bahawa ia adalah prosedur biasa untuk kerajaan meminta ‘offset’ dalam pembelian berharga tinggi.

“Beliau tidak pernah menyatakan AirAsia mendapat manfaat daripada prosedur ini. Beliau menambah jika wang disalurkan kepada individu maka ia adalah rasuah. Jika bukan untuk kepentingan peribadi, maka beliau berpandangan ia bukanlah rasuah,” menurut PMO.

Dr Mahathir menyerahkan kepada kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada ia adalah rasuah ataupun tidak, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut laporan dalam media bahawa perdana menteri mengatakan tuduhan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi ‘offset’ adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Pejabat Perdana Menteri memandang serius laporan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan kenyataan sebenar Perdana Menteri,” ia berkata.

PMO menasihatkan pihak media supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab, sambil menambah laporan yang tidak tepat akan menimbulkan kesan yang tidak baik terhadap pemahaman orang ramai mengenai sesuatu isu.

Dilaporkan bahawa Serius Fraud Office (SFO) United Kingdom membangkitkan dakwaan rasuah membabitkan syarikat pembuat kapal terbang, Airbus dan AirAsia – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!