KUALA LUMPUR, 7 Feb – Jangan mensia-siakan diri masuk ke lokap hanya kerana menyebarkan berita palsu berhubung penularan Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata perbuatan menyebarkan fakta tidak tepat berhubung isu berkenaan adalah satu tindakan kurang cerdik kerana ia boleh menganggu-gugat ketenteraman awam.
“Contohnya semalam kononnya ada sebuah kapal di Kuala Linggi, Melaka yang tiba dari Wuhan, China membawa anak kapal dari China, ia adalah tidak benar dan orang yang menyebarkannya bukannya ‘Master’ pelabuhan.
“Sekiranya orang kampung yang mempercayainya sudah tentu boleh menyebabkan kegemparan awam kerana risau virus ini turut dibawa bersama mereka (anak kapal China). Penyebarnya telah menyusahkan diri dan telah diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan berita palsu koronavirus pada sidang media majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Abdul Hamid berkata, pihaknya akan mengambil segala tindakan berhubung penularan berita palsu koronavirus dan akan ditangani dengan serta-merta.
“Saya telah mendapat jaminan daripada Jabatan Peguam Negara yang mana semua kes yang telah selesai disiasat dan wujud pembuktian, akan segera didakwa di mahkamah.
“Oleh itu, saya menasihatkan kepada mereka yang cuba menyebarkan berita palsu, usahlah mensia-siakan kehidupan di dalam lokap dengan makanan dalam lokap yang tidak sedap,” katanya.
Beliau berkata biarlah lokap polis ini dipenuhi dengan penjenayah tegar dan bukan dipenuhi dengan penyebar fitnah dan berita palsu. – Bernama