BANTING, 7 Feb – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM dianugerah Beret Kehormat Pasukan Khas TUDM (PASKAU) sempena lawatan kerjanya ke Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jugra hari ini.
Upacara Pemakaian Beret Kehormat PASKAU ini telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah Rejimen TUDM, Kolonel Khalil Mohd Ali TUDM.
Menurut TUDM, Penganugerahan Beret Kehormat PASKAU adalah kesinambungan pengiktirafan PASKAU kepada Panglima Tentera Udara berlandaskan sifat kepimpinan, kewibawaan, kecemerlangan dan semangat waja dalam menerajui TUDM serta sumbangan bakti terhadap pembangunan dan pemerkasaan keupayaan tempur PASKAU khususnya.
Turut hadir Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM, pegawai-pegawai kanan TUDM serta warga Rejimen TUDM.
Pada majlis ini, Ackbal turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada lima anggota Rejimen TUDM sebagai mengiktiraf sumbangan dan pencapaian kecemerlangan sukan yang diceburi di peringkat negara dan antarabangsa.
Ackbal dalam ucapannya menyeru warga Rejimen TUDM mengekalkan kegemilangan PASKAU dan melonjak imej TUDM ke tahap yang lebih tinggi.
“Dengan berpegang kepada elemen utama seperti latihan yang konsisten dan berterusan, disiplin dan semangat perjuangan yang kental,
“Warga TUDM juga hendaklah terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan serta membimbing anggota baharu sebagai barisan pelapis kepimpinan bagi mengggalas tanggungjawab yang diamanahkan,” kata Panglima Tentera Udara.
Terdahulu, beliau telah menerima tabik hormat daripada anggota perbarisan yang terdiri daripada 12 orang pegawai dan 175 anggota lain-lain pangkat (LLP) diketuai Mejar Abdul Nasir Abdul Majid TUDM.