PUTRAJAYA, 6 Feb – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan kes terbaru Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) adalah seorang rakyat tempatan yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China.
Dr Dzulkefly berkata, pesakit seorang wanita berumur 40 tahun adalah adik kepada lelaki dari Selangor yang disahkan positif wabak berkenaan pada 4 Februari lalu.
“Beliau dikesan ketika pulang ke kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah untuk sambutan Tahun Baru China pada 23 Januari 2020,
“Pesakit kini dirawat di wad pengasingan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah dan berada dalam keadan stabil,” jelas Dr Dzulkefly dalam sidang media, hari ini.
Sementara itu, bagi kes ke 14 pula Dr Dzulkefly mengesahkan pesakit adalah seorang pelancong warganegara China yang tiba ke Malaysia bersama ibu dan rakannya pada 25 Januari 2020.
“Beliau mendapatkan rawatan bagi gejala demam ringan di Hospital Kuala Lumpur pada 1 Feb 2020,
“Pada 5 Februari 2020, wanita berusia 37 tahun itu disahkan positif wabak coronavirus,” jelasnya lagi.
Sehingga ke hari ini, Dr Dzulkefly mengesahkan Malaysia mencatatkan 14 kes positif wabak 2019-nCov dengan 4 daripadanya adalah rakyat Malaysia dan 10 orang warganegara China.
Dr Dzulkefly turut menasihatkan penganut, pengunjung sambutan Thaipusam untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan dari terkena jangkitan koronavirus.
“Mereka yang tidak sihat dinasihatkan tidak hadir sambutan Thaipusam di Batu Caves Sabtu ini,” katanya.