Home Semasa Kalau duit masuk poket, itu baru rasuah – Tun Mahathir

Kalau duit masuk poket, itu baru rasuah – Tun Mahathir

by Bernama

PUTRAJAYA, 6 Feb – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perbuatan rasuah berlaku apabila duit yang diterima itu masuk ke dalam poket sendiri.

Beliau berkata kerajaan ada meminta ‘offset’ apabila membuat pembelian seperti kapal terbang dan berpendapat wang yang diterima untuk tujuan ‘offset’, bukan rasuah.

“Sama ada kita menganggap ‘offset’ itu rasuah atau tidak, ia terpulang kepada anda.

“Bagi saya, kalau kita dapat sesuatu kerana kita membeli sesuatu dengan harga yang tinggi, kenapa kita tak boleh terima.

“Kalau duit yang kita dapat itu masuk poket kita, itu rasuah. Itu pandangan saya,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai laporan dakwaan rasuah melibatkan AirAsia dan Airbus hari ini.

Menurut laporan, pejabat Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom mendakwa Airbus memberi rasuah AS$50 juta kepada eksekutif yang dikaitkan dengan AirAsia dan AirAsia X bagi mendapatkan pesanan kapal terbang.

Menurut laporan itu, SFO mendakwa Airbus menaja pasukan sukan yang dimiliki oleh eksekutif AirAsia semasa rundingan pembelian kapal terbang.

Dr Mahathir yang ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat dan aspirasinya kepada komuniti pendidikan di sini, turut ditanya mengenai laporan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa berkata parti itu perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir berikutan PAS berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan sokongan daripada pembangkang apabila kerajaan telah melakukan sesuatu yang betul terutamanya di Parlimen.

“Apabila kita melakukan sesuatu yang betul, saya fikir mereka perlu sokong. Bukan hanya menentang secara membuta tuli,” katanya.

Beliau juga berkata parti pembangkang perlu menyokongnya jika mereka mahu bekerjasama dengannya.

Ditanya sama ada beliau mengalu-alukan sokongan UMNO, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Sesiapa sahaja yang menyokong saya, saya rasa seronok”. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!