SUNGAI BULOH, 3 Feb – Peranan Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah lebih meluas daripada pasukan ‘Secret Service’ di Amerika Syarikat yang bertanggungjawab melindungi presiden dan keluarganya, kata Komander UTK SAC Mohd Khairi Khairuddin.
Peranan UTK bukan hanya untuk melindungi pemimpin kerajaan dan negara sahaja, malah tanggungjawab dan amanah UTK lebih luas dengan mereka banyak terlibat dalam operasi berbahaya berprofil tinggi antaranya menangani kes penculikan dan berdepan musuh bersenjata, katanya.
Beliau berkata dalam mengawal keselamatan orang-orang kenamaan, UTK sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi apa jua ancaman mendatang ketika bertugas.
“Peristiwa berdarah melibatkan seorang menteri di Indonesia pada tahun 2019 telah membuka mata banyak pihak bahawa ancaman boleh berlaku bila-bila masa sahaja,” katanya merujuk kepada insiden Menteri Keselamatan Indonesia Wiranto yang ditikam oleh seorang lelaki semasa mahu menaiki kereta rasminya.
Meskipun tiada lagi kejadian serius yang berlaku terhadap orang yang berkepentingan di negara ini, unit ini sentiasa berwaspada,” katanya semasa berucap pada majlis media sempena sambutan Hari Ulang Tahun UTK ke-45 di Lapang Sasar Sungai Buloh, di sini semalam.
“Di Malaysia, belum ada lagi kejadian seumpama itu, namun pada 2006 Tun Dr Mahathir Mohamad selepas bersara daripada jawatan perdana menteri pernah diserang menggunakan semburan lada.
Oleh itu, kami sentiasa mengkaji tahap keselamatan agar pemimpin atau orang kenamaan sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.
UTK ditubuhkan pada 1 Januari 1975, hasil buah fikiran Ketua Polis Negara ketika itu Tun Mohammed Hanif Omar dalam usaha memerangi keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) ketika itu.
Ini selaras dengan amanah dan bertanggungjawab UTK dalam membanteras penjenayah yang menggugat keselamatan dan keamanan negara selain menjaga nyawa golongan kenamaan berisiko tinggi sama ada dari dalam atau luar negara.
Terdahulu, lebih 50 pelbagai pengamal media yang menyertai latihan kemahiran menembak bersama UTK sebagai usaha mengeratkan hubungan dan menghargai peranan media. – Bernama