Home Sukan Mat Don sah warganegara Malaysia

Mat Don sah warganegara Malaysia

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 3 Feb – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi secara rasminya menjadi warganegara Malaysia melalui penaturalisasian selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don telah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia.

“Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon, 28, kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan,” katanya.

Menurut Stuart, inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi ini mula dicetuskan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sejak dari hari pertama beliau memegang jawatan tersebut pada 14 Julai 2018.

“Ia seterusnya mula digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi,

“Kemudian disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat – jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 pada 30 Mac 2019,” kata kenyataan itu.

Stuart juga berharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti akan dapat memperkasakan lagi pasukan.

“FAM juga ingin sekali lagi berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini,” ujar beliau.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!