Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia-Brunei terus kukuhkan hubungan strategik pertahanan

Malaysia-Brunei terus kukuhkan hubungan strategik pertahanan

by Air Times News Network

TAWAU, 3 Feb – Menteri Pertahanan Kedua Brunei Darussalam Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof mengadakan lawatan kerja ke Tawau, Sabah mulai 2 Feb hingga 4 Feb 2020.

Beliau turut diiringi oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu sepanjang lawatan kerja itu.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata Malaysia dan Brunei mempunyai jalinan hubungan dua hala sejak sekian lama dan lawatan kerja ini telah memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperhalusi hubungan strategik yang sedia ada.

“Hubungan dua hala pertahanan antara Malaysia dan Brunei dibentuk secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 14 Februari 1992,

“Hubungan pertahanan ini berkembang di peringkat strategik, operasi serta taktikal melalui pelaksanaan operasi/latihan bersama dan program pertukaran pegawai serta anggota melibatkan angkatan tentera kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut menyertai Malaysian Battalion (MALBATT) di dalam misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sejak tahun 2008.

“Selain itu, Brunei juga menganggotai Tim Pemantau Antarabangsa atau International Monitoring Team (IMT) di Mindanao, Filipina yang diketuai oleh Malaysia sejak tahun 2004,

“Kerjasama pertahanan antara kedua negara ini adalah penting khususnya dalam konteks menjaga keamanan dan kestabilan dengan mengambil kira cabaran serta ancaman keselamatan semasa di rantau ini,” jelasnya.

Program lawatan kerja ini melibatkan kunjungan ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), penempatan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan perairan Pantai Timur Sabah iaitu Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (TSR) dan Pulau Pandanan, serta tinjauan udara menggunakan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke kawasan operasi di Pulau Mataking, Pulau Mantabuan serta Pulau Sibuan.

Turut serta dalam lawatan kerja ini Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Datuk Paduka Seri Aminan Pengiran Mahmud; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!