KUALA LUMPUR, 3 Feb – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menegaskan kesemua rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan perlu menjalani saringan kesihatan sebelum pulang ke negara ini.
Beliau menegaskan, hanya rakyat Malaysia yang didapati sihat setelah melalui saringan kesihatan (exit screening) akan dibenarkan menaiki pesawat khas misi.
“Mereka akan melalui saringan yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Negara China di Lapangan Terbang Antrabangsa Wuhan, Tianhe,” jelas Dzulkefly dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, setibanya di Malaysia, kesemua penumpang, anak kapal serta petugas misi akan turun dari pesawat dan terus menaiki bas khas untuk di bawa ke bangunan Air Disaster Unit (ADU) bagi melalui proses dikontaminasi serta saringan kesihatan (entry screening).
“Pesawat yang membawa pulang rakyat Malaysia itu akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kesemua penumpang tidak akan memasuki bangunan terminal KLIA,
“Mereka yang didapati mempunyai gejala wabak berkenaan akan dibawa terus ke hospital rujukan 2019-nCoV manakala mereka yang tidak bergejala akan dibawa ke Pusat Pemantauan.
“Mereka hanya akan dibenarkan untuk pulang ke kediaman masing-masing selepas disahkan sihat dan didapati negatif jangkitan 2019-nCoV,” jelas Menteri Kesihatan.
Sebuah pesawat khas Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 4.38 petang tadi.
Pesawat komersil Air Asia yang berlepas ke Wuhan membawa 500 ribu sarung tangan sebagai sumbangan kepada kerajaan China. Misi ini melibatkan 12 orang anak kapal bersama 8 petugas misi dari pelbagai agensi.
1 comment
[…] Artikel berkaitan : Hanya yang sihat sahaja akan dibawa pulang dari Wuhan – Dr Dzulkefly […]