CHICAGO, 30 Jan – Syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat, Boeing mengumumkan akan menderma topeng muka kesihatan kepada China bagi menampung masalah bekalan peralatan perubatan tersebut di negara itu.
Menurut Boeing dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu akan menderma sebanyak 250,000 topeng muka kepada pegawai perubatan China yang bertugas di Wuhan dan Zhoushan. Kedua-dua bandar itu merupakan antara bandar yang terjejas teruk akibat penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) baru-baru ini.
“Diharapkan usaha ini dapat membendung penularan wabak di samping membantu petugas-petugas tempat untuk melaksanakan tugas mereka,
“Kami turut bersimpati dengan masyarakat China yang dijangkiti oleh wabak itu,” kata Presiden dan Keuta Pengarah Eksekutif Boeing, Dave Calhoun.
Dalam perkembangan lain, Boeing turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mengambil berat akan kebajikan pekerja dan keluarga mereka. Selain daripada itu, syarikat itu turut melakukan pemantauan rapi terhadap perkembangan semasa penularan 2019-nCoV di samping meminta pekerja mereka untuk mematuhi arahan semasa oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Boeing telah menyediakan lebih 25,000 topeng muka bagi kegunaan pekerja mereka yang berada di rantau China.