Home Semasa China tidak benarkan pesawat TUDM terlibat dalam operasi bawa keluar rakyat Malaysia di Wuhan

China tidak benarkan pesawat TUDM terlibat dalam operasi bawa keluar rakyat Malaysia di Wuhan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Menteri Luar, Dato’ Saifuddin Abdullah hari ini menyatakan kerajaan China tidak membenarkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk terlibat dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Wuhan.

“Sebenarnya memang Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia telah menawarkan pesawat mereka tetapi pihak kerajaan China hanya membenarkan penggunaan pesawat komersil sahaja,” kata Saifuddin semasa sidang media di Kuantan.

Menurut beliau, jenis pesawat komersil yang digunakan akan ditentukan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pesawat yang dihantar akan membawa pegawai perubatan dari Malaysia berserta dengan bantuan barangan berbentuk sarung tangan,

“Rakyat Malaysia yang dibawa pulang akan diperiksa terlebih dahulu sebelum pulang dan diperiksa sekali lagi selepas tiba di Malaysia,” jelas Saifuddin.

Beliau menambah, keputusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dari Wuhan, Hubei telah dibuat semasa mesyuarat kabinet semalam. Pada masa yang sama, Kedutaan Malaysia di Beijing telah membuka bilik operasi 24 jam semenjak minggu lalu bagi menghubungi rakyat Malaysia di China.

Menurut Saifuddin, terdapat 35,000 rakyat Malaysia berada di China.

“25,000 rakyat Malaysia adalah di Hong Kong, 2,500 di Beijing sementara 115 orang di wilayah Hubei termasuk 80 orang di Wuhan,” jelas Saifuddin.

Selain daripada itu, Saifuddin turut menegaskan kerajaan China telah memberikan kerjasama yang baik dalam perbincangan membawa keluar rakyat Malaysia dari Wuhan. Selain daripada itu, pihak kementerian luar negeri di kedua-dua negara telah berbincang berhubung usaha tersebut.

“Saya berharap kita dapat membawa pulang rakyat Malaysia secepat yang mungkin,” kata Saifuddin.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!