Home Semasa 14 pelawat China dihalang masuk Malaysia di KLIA – Menteri Dalam Negeri

14 pelawat China dihalang masuk Malaysia di KLIA – Menteri Dalam Negeri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan seramai 14 orang pelawat dari China yang berasal dari wilayah Hubei telah dihalang masuk ke negara ini, semalam.

Menurut beliau, kesemua pelawat terbabit telah dihalang memasuki negara ini dengan mengikut prosedur dan arahan yang telah dikeluarkan bagi menangani penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV).

“Ini adalah satu prosedur yang digunakan bagi memastikan tiada pembolosan berlaku,” kata Muhyiddin semasa sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Namun begitu, beliau tidak menyatakan lebih lanjut mengenai masa dan destinasi asal penerbangan yang terlibat.

“Imigresen telah menyemak visa dan passport mereka. Jika didapati berasal dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei, kita tidak benarkan masuk,” jelas Muhyiddin lagi.

Pada 27 Januari lalu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China yang berasal dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei. Keputusan yang dibuat adalah bagi membendung penularan wabak itu di negara ini.

Sehingga kini, Malaysia telah mencatatkan 8 kes positif jangkitan 2019-nCoV dan kesemua kes tersebut melibatkan pelawat berwarganegara China.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!