Home Semasa Kedai pesara tentera, polis diroboh DBKL

Kedai pesara tentera, polis diroboh DBKL

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Para peniaga di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan memohon keprihatinan dan hati budi kerajaan untuk membenarkan meneruskan perniagaan mereka di kawasan berkenaan.

Hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan kerja-kerja meroboh gerai dan kedai yang terletak di hadapan Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia.

Dr Ibnu Hassan Thalha, salah seorang dari 8 peniaga yang ditemui hari ini menyuarakan rasa sedih dan kecewa apabila pihak merobohkan deretan kedai yang ada di antaranya diusahakan oleh bekas tentera dan polis.

Menurut beliau, ada di antara para peniaga telah mengusahakan kedai di tapak yang dikenali sebagai ‘Tapak Medan Selera NBOS’ sejak 60 tahun lalu.

“Notis merobohkan premis telah dikeluarkan oleh DBKL semalam dan hari ini mereka terus datang robohkan,

“Semua yang berniaga disini ada yang bekas tentera dan ada juga bekas polis. Kami minta tempoh untuk ditangguhkan, tapi kami tidak dapat apa-apa maklum balas sama ada penangguhan diterima ataupun tidak,” katanya ketika ditemui di tapak gerai mereka, tengah hari tadi.

Beliau juga berkata para peniaga telah menghantar permohonan rayuan kepada pihak Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Pertahanan bagi meneruskan perniagaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, mereka tidak mendapat sebarang maklum balas dari mana-mana pihak mengenai rayuan tersebut.

“Apabila sudah roboh, kami berasa sangat kecewa. Semua yang berniaga disini hanya ingin mencari rezeki untuk keluarga dan anak-anak masing-masing. Perniaga ini sudah menjadi periuk nasi kami,” luah Dr Ibnu dengan rasa kecewa.

Katanya, ada diantara peniaga sudah mendapat notis perpindahan ke tapak perniagaan di Keramat Mall. Namun, tempat baharu yang diberikan disifatkan tidak strategik dan mereka sukar untuk menjalankan perniagaan.

Dr Ibnu Hassan dan para peniaga lain turut menyuarakan kekesalan mereka terhadap kerajaan kerana mereka tidak diberikan pampasan yang sewajarnya setelah berpuluh ribu mengeluarkan modal untuk mengusahakan perniagaan di tapak tersebut.

Mereka turut menyuarakan harapan agar kerajaan hari ini lebih prihatin dalam menjaga kebajikan peniaga-peniaga seperti kerajaan terdahulu yang telah membenarkan berniaga di tapak ini.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!