Home Semasa Polis serbu dan tangkap 4 individu di 3 negeri sebar berita palsu wabak koronavirus

Polis serbu dan tangkap 4 individu di 3 negeri sebar berita palsu wabak koronavirus

by M.Daim

CYBERJAYA, 29 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini telah menahan 4 individu di 3 buah negeri kerana disyaki menyebarkan berita palsu mengenai penularan wabak novel coronavirus (2019-nCoV).

Penahanan keempat-empat individu terbabit telah disahkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini,  SKMM mengesahkan 2 saspek telah ditahan di Melaka, seorang di Kedah dan Pahang.

“Dalam operasi yang dijalankan antara pukul 11 pagi sehingga 5 petang hari ini, PDRM dan SKMM telah menahan kesemua suspek terlibat untuk mengambil keterangan mereka,” kata kenyataan itu.

Penahanan tersebut melibatkan 4 individu yang terdiri daripada pengajar sambilan, pembantu farmasi dan pelajar.

Di Alor Setar, seorang tutor sambilan telah ditahan pada tengah hari tadi berhubung kandungan palsu yang dimuat naik di laman Facebook pada 25 Januari lalu.

Sementara itu, dua orang pembantu farmasi telah ditahan di Peringgit dan Merlimau pada petang tadi. Kedua-dua saspek telah dikehendaki berhubung kandungan palsu wabak 2019-nCoV di laman Facebook pada 26 Januari lalu.

Di Kuantan, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 24 tahun telah ditahan berhubung kandungan palsu wabak 2019-nCoV di laman Twitter pada 27 Januari lalu.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM 50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,

“Suspek boleh didenda selanjutnya RM 1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” jelas pihak SKMM.

Pada masa yang sama, SKMM menegaskan mereka akan meneruskan kerjasama dengan PDRM bagi melaksanakan penguatkuasaan dalam penyebaran berita palsu bagi menjaga keaman dan ketenteraman awam.

Semalam, SKMM menyatakan seorang lelaki berusia 34 tahun telah ditahan berhubung kandungan berita palsu yang telah dimuatnaik di Facebook. Saspek telah ditahan di rumahnya di Bangi dan turut disiasat di bawah Seksyen 233 AKM.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi amaran kepada penyebar berita palsu untuk berdepan dengan tindakan dari pihak kerajaan. Beliau menegaskan pihak kerajaan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu.

Semasa sidang media khas di Putrajaya pada tengah hari tadi, Tun Mahathir turut menegaskan Kebebasan Media (Freedom of Press) di negara ini masih terjaga.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memberi peringatan kepada masyarakat untuk tidak terjebak dalam kegiatan penyebaran berita palsu.

“Mana-mana pihak yang ingin menjadi ‘jaguh’ di internet mahupun media sosial dengan penyebaran berita tidak sahih berkaitan isu penyebaran wabak 2019-nCoV akan disiasat di bawah peruntukan undang-undang,

“PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang sengaja mensensasikan isu berkaitan virus ini,” tegas Huzir dalam kenyataan yang dikeluarkan pada awal pagi tadi.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!