KUALA LUMPUR, 29 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kes penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) menerusi laman sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, empat kertas siasatan berkaitan empat kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial iaitu Facebook dan satu kenyataan yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp.
“Antara kenyataan palsu di Facebook melibatkan akaun bernama Mr Kong Tuck Wah, Ibu Yati, Roti Sardeen dan Gabungan Anak Terengganu (Original),
“Siasatan kelima membabitkan penyebaran berita palsu menerusi Whatsapp berkenaan kematian banduan secara mengejut di Penjara Sandakan, Sabah, yang didakwa berpunca dari koronavirus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Huzir berkata, lima kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Ia memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan,
“Terdapat juga kes yang disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, pihaknya mengambil serius berhubung penyebaran khabar angin dan berita tidak sahih mengenai penularan 2019-nCov oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman sosial.
“Kita menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel, kenyataan yang tidak sahih atau tidak tepat,
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkaitan virus ini,” jelas beliau.
Pada masa yang sama, PDRM menegaskan orang ramai jangan cuba untuk menjadi ‘jaguh’ menyebarkan berita palsu mengenai penularan wabak 2019-nCoV. Masyarakat diingatkan untuk merujuk ke saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan kenyataan dan maklumat yang tepat.