Home Pertahanan dan Keselamatan Pegawai TUDM, pengarah syarikat didakwa tipu tawaran tender cat marin berjumlah RM250,000

Pegawai TUDM, pengarah syarikat didakwa tipu tawaran tender cat marin berjumlah RM250,000

by Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat kapten dan pengarah syarikat pembekal barangan pejabat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu membabitkan tawaran tender pembekalan dan penghantaran cat marin untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjumlah RM250,000.

Pegawai tentera itu, Mohd Fazrin Musa, 30, dan Ai’dah Mohamed, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Sabariah Othman.

Mohd Fazrin dan Ai’dah didakwa dengan niat bersama telah menipu Jamalulail Abdullah, 55, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa mereka boleh memastikan Syarikat IT Frontiers milik Jamalulail akan dianugerahkan dengan satu tawaran untuk tender pembekalan dan penghantaran cat marin untuk TLDM.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya telah mendorong Jamalulail untuk menyerahkan wang RM250,000 kepada mereka.

Mohd Fazrin dan Ai’dah dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan 1/50 Diamond Square Off Jalan Gombak, Wangsa Maju di sini, pada 9.08 pagi 15 Feb tahun lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Sabariah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, namun beliau berkata sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan mereka diikat jamin, pihaknya menawarkan RM10,000 setiap seorang.

Peguam Husni Abdul Hamid yang mewakili Mohd Fazrin dan Ai’dah memohon mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya dibebaskan dengan jaminan RM8,000 setiap seorang, atas alasan mereka telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan serta tidak mempunyai rekod sabitan lampau.

“Ai’dah yang berpendapatan di antara RM3,000 dengan RM5,000 sebulan juga perlu menanggung ibu, bapa yang lumpuh akibat strok, seorang kakak orang kurang upaya (OKU) di kampung serta dua beradik lain yang membantunya dalam perniagaan selain dalam proses perceraian dengan suaminya,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!